PELIK juga memikirkan tindak-tanduk sebuah pertubuhan NGO pro-ISA, Majlis  Permuafakatan Ummah (Pewaris) untuk mengadakan demonstrasi dan perarakan ke  Istana Negara pada Sabtu, 1 Ogos ini.
Bukan menjadi  satu kesalahan untuk berdemonstrasi dan berarak secara aman bagi menyokong ISA.  Sokonglah, kalau itu difikirkan wajar. Tetapi sengaja mengadakan perhimpunan  pro-ISA di hari yang sama perhimpunan anti-ISA diadakan sebenarnya boleh  menimbulkan kejadian dan insiden tidak perlu.
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)  mengumumkan cadangannya secara rasmi pada 22 Jun lalu untuk mengadakan  perhimpunan Mansuhkan ISA (Mansuh) di ibu negara bertujuan menyerahkan  memorandum ke pejabat Yang Dipertuan Agong.
Manakala Pewaris yang  mendakwa mewakili sepuluh NGO Melayu yang lain menyatakan hasrat mengadakan  perhimpunan menyokong ISA pada tarikh dan tempat yang sama hanya pada petang 21  Julai - hampir sebulan setelah GMI menyatakan hasrat mereka. Antara yang bakal  menyertai perhimpunan pro-ISA Pewaris adalah sebuah pertubuhan silat!
GMI  bersama 83 NGO lain (termasuk Pemuda Gerakan) akan bergerak mulai 2 petang dari  tiga lokasi � kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara �  dengan berpakaian hitam dan merah ke Istana Negara.
Manakala Pewaris  dengan 10 NGO Melayu dan ahli-ahli Silat Lincah akan berada di tiga lokasi di  tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah  hari.
Mulai 11 pagi, demonstran pro-ISA yang berpakaian putih dijadual  berhimpun di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok bersebelahan Bank  Negara, sebelum menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang  200 kaki di dataran tersebut dan kemudian berarak ke Istana Negara.
Tidak  diketahui sama ada kedua-dua kumpulan, anti-ISA yang berhimpun selepas solat  Zohor, dan pro-ISA yang berhimpun sebelum solat Zohor akan bertembung di pintu  Istana Negara. Bagaimanapun kemungkinan besar himpunan pro-ISA yang telahpun  berarak pada jam 11 pagi akan mengakhiri perhimpunan mereka sebelum solat Zohor  bagi memberi kesempatan kepada ahli-ahlinya yang kesemuanya Melayu-Islam untuk  menunaikan solat Zohor!
Sehubungan itu, kita yakin tidak berlaku  pertembungan antara dua kumpulan ini di hadapan Istana Negara  kelak.
Bagaimanapun kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Pertubuhan  Pribumi Perkasa (Perkasa), Dato' Ibrahim Ali bahawa demonstrasi anti-ISA anjuran  GMI dan pro-ISA anjuran Pewaris pada tarikh dan tempat yang sama (walaupun masa  yang berlainan) bakal "menimbulkan huru-hara" patut diambil perhatian serius  pihak keselamatan.
Jika Ibrahim Ali yang juga penggerak utama demonstrasi  pro-ISA itu tidak boleh menjamin perhimpunan yang bakal diadakan berjalan secara  aman, Pewaris tidak sepatutnya dibenarkan berhimpunan pada tarikh  itu.
Selaku pemimpin - tidak kira sekecil manapun bilangan yang dipimpin  - Ibrahim perlu bertanggung jawab. Wajar baginya membatalkan sahaja cadangannya  untuk berhimpun kerana beliau tidak mampu mengawal anak-anak buahnya daripada  bertindak ganas dan melakukan provokasi.
Ramalan Ibrahim bahawa dua  perhimpunan itu boleh "menimbulkan huru-hara" adalah berniat jahat dan  mendedahkan niat sebenar perhimpunan pro-ISA itu dilaksanakan.
Ibrahim  dalam kenyataannya berkata Perkasa dan NGO Melayu lain akan berarak  mempertahankan akta itu "walaupun boleh menimbulkan huru-hara."
Malah  beliau mengugut akan meneruskan perhimpunan pro-ISA itu jika Himpunan Mansuh  yang digerakkan GMI tidak dibatalkan dan pihak polis tidak mengambil tindakan  tegas.
"Kerajaan sudah umum akan kaji ISA, apa perlu perhimpunan ke  Istana Negara.
"Tunggu sehingga kerajaan pinda atau bagaimana  (keputusannya), baru boleh kemuka bantahan," katanya melalui pesanan SMS kepada  Malaysiakini.
Jelaslah apa sebenarnya yang terkandung dalam benak hati  Ibrahim, Pewaris dan Perkasa yang dipimpinnya. Tujuan perhimpunan pro-ISA itu  diadakan adalah untuk menimbulkan huru-hara atau paling tidak dijadikan alasan  oleh pihak polis untuk menghalang sebarang bentuk perhimpunan 1 Ogos ini di  Kuala Lumpur.
Pastinya Ibrahim sendiri bukanlah contoh terbaik untuk  diikuti. Beberapa perhimpunan yang disertai olehnya termasuk dalam menjatuhkan  kerajaan pimpinan PAS di Kelantan pada 1978 berakhir dengan  huru-hara.
Ianya berbeza dengan perhimpunan aman yang dianjurkan  masyarakat sivil negara seperti perhimpunan Bersih pada 2008 apabila 100,000  rakyat berhimpun di ibu kota dengan berbaju kuning.
Perhimpunan Bersih  dan Mansuhkan PPSMI beberapa bulan lalu berjalan dengan aman dan berakhir dengan  aman. Jika adapun kekecohan, ia disebabkan tindakan FRU menembak gas pemedih  mata kepada mereka yang berhimpun. Tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera  dan tiada harta awam yang rosak binasa dalam dua perhimpunan itu.
Ia  tidak seperti beberapa perhimpunan yang dianjurkan Ibrahim Ali di Kota Bharu  sehingga mendorong Kerajaan Pusat mengisytiharkan Mageran di negeri  itu.
Walaupun Ibrahim dan kelompok ultra-Melayu pimpinannya berusaha  menggagalkan himpunan Mansuh, Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh berkata  pihaknya akan tetap meneruskan perhimpunan itu.
Malah lebih seribu  petugas Unit Amal telah dikerah bagi mengawal keselamatan dan peserta Himpunan  Mansuh bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Himpunan  Mansuh juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak antaranya  Pemuda Gerakan, parti gabungan BN.
Malah Ketua Pemuda Umno, Khairy  Jamaluddin dilapor melarang Pemuda Umno daripada terlibat dalam perhimpunan  pro-ISA yang dianjurkan Pewaris menyebabkan Ibrahim 'naik angin'.
Untuk  pengetahuan, tanggal 1 Ogos 2009 dipilih sebagai tarikh himpunan Mansuh sempena  49 tahun ISA digubal.- tajdid
http://kerabubersuara.blogspot.com
 

No comments:
Post a Comment