.
`
refresh 4 new artikal
.

11 August 2009

Mewujudkan ADA dari TIADA BN serang, PR terperangkap



(Malaysian Mirror) - Mewujudkan "ada" daripada "tiada" bukan taktik baru dalam mainan politik UMNO-Barisan Nasional. Tiba-tiba satu Malaysia diselubungi suasana yang tegang (sekurang-kurangnya dalam media) tanpa sebab. Sentimen perkauman dan agama diapi-apikan. Amaran diberi, dan mungkin disusuli dengan tangkapan.

Penangkapan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008 meniru adegan yang sama. Exco Senior kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok ketika itu ditahan atas tuduhan melarang azan dilaungkan di masjid, namun tiada bukti ditemui sehingga beliau dibebaskan seminggu kemudian.

Ramai akan bersetuju bahawa penangkapan wartawan Sin Chew Daily dan Raja Petra Kamaruddin pada ketika itu berhubung-kait dengan rampasan kuasa "916" yang diuar-uarkan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim selepas tsunami politik 8 Mac 2008. Penangkapan tersebut dilihat sebagai usaha UMNO-BN untuk menggagalkan projek "916".

Melihat kepada senario politik baru-baru ini, apakah jalan cerita yang lapuk ini akan berjaya dimain semula?

Selepas perhimpunan Mansuhkan ISA

Bukan kali pertama Anwar Ibrahim dilabel sebagai pengkhianat oleh pemimpin UMNO. Malah, bukan kali pertama Anwar menggunakan perkataan "zalim" untuk mengkritik pimpinan dan dasar UMNO. Jadi, persoalannya, mengapa Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menuduh "Anwar pengkhianat", dan dijilat semula perkataan tersebut oleh lidah UMNO, Utusan Malaysia pada keesokan hari selepas perhimpunan?

Lebih penting lagi, isu "Anwar pengkhianat" ini diperbesarkan selepas perhimpunan Mansuhkan ISA, setelah puluhan ribu orang turun ke jalan raya untuk menuntut agar akta draconian ini terus dimansuhkan, dan bukannya ditangguhkan atas nama "mengkaji". Penyatuan semula penyokong PR kerana aspirasi yang dikongsi bersama ini, bertukar menjadi ketidakpuasan yang dirasai bersama, selepas dibedil gas pemedih mata.

Tragedi kematian Teoh Beng Hock, kekerasan polis, siasatan SPRM yang dilihat mempunyai motif politik, telah menggandingkan semula parti komponen PR, untuk menghadapi ancaman musuh politik bersama, UMNO-BN. Ia menyuntik semangat baru kepada PR selepas dihampakan dengan kemenangan tipis di Manek Urai, perselisihan PAS-DAP atas isu pusat penyembelihan khinzir di Kedah, perbalahan DAP-PKR di Pulau Pinang dan kecelaruan di kerajaan Selangor.

Bertitik tolak dari perkembangan terbaru ini, PR seharusnya menyusun semula langkah dan strategi baru untuk menghadapi "kebangkitan" BN, terutamanya apabila populariti Najib melonjak dari jurang, setelah menampilkan dirinya sebagai pemimpin Melayu yang "adil dan mesra" kepada semua kaum. Namun demikian, PR jelas gagal menguasai keadaan ketika berdepan dengan "langkah bijak" Najib.

Politik media

Di sebalik konsep "1Malaysia", Najib membenarkan timbalannya, menteri kabinet dan medianya yang ditunjangi Utusan Malaysia, memainkan isu perkauman dan agama. Isu kerajaan perpaduan BN-PAS, kematian Teoh Beng Hock (yang disusuli pertikaian terhadap SPRM), perhimpunan Mansuhkan ISA dan sebagainya di-perkaumkan. Antaranya:-

1. Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Arifin dalam tulisannya yang disiarkan di Berita Harian pada 19 Julai 2009, mempersoalkan "Kenapa Menteri Besar Selangor, seorang Melayu, meragui kebolehan orang sebangsanya bertindak dengan tulus dan adil?"

2. Utusan Malaysia menyiarkan tulisan Noor Azam yang bertajuk "Melayu jangan jadi bacul", pada 4 Ogos 2009. Tulisannya dipetik seperti berikut, "Saksikan apa yang telah berlaku di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Hak Istimewa Melayu dan Dasar Ekonomi Baru pun tidak akan ada lagi. Strategi yang mereka pergunakan sekarang sudah nyata berjaya. Terus menyemarakkan isu rasis untuk menimbulkan 'kemarahan dan kebencian' rakyat kepada apa juga kuasa yang ada kepada orang Melayu, termasuk kuasa mahkamah, polis dan tentera. Dan kuasa Raja-Raja Melayu."

3. Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar ketika mengulas perhimpunan Mansuhan ISA berkata, "Waktu kita tangkap ahli KMM dan JI yang memang melibatkan orang Melayu, tiada gerakan untuk mansuhkan ISA kerana kita orang Melayu memahami keadaannya. Isu yang hangat sekarang ialah pertubuhan haram Hindraf...siapa Hindraf ini? Kenapa sekarang orang Melayu nak dijadikan alat oleh orang lain yang nyata mahu ambil kesempatan demi kepentingan politik?" (Utusan Malaysia, 3 Ogos 2009)

4. Utusan Malaysia menyiarkan teks ucapan Raja Dr.Nazrin Syah, dengan tajuk "7 Wasiat raja Melayu" di muka depan pada 7 Ogos 2009. Pada keesokannya, Naib Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata, "Ramai yang sudah terlupa mengenai wasiat (Raja Melayu) ini dan hanya dijadikan bahan sejarah, tetapi Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah telah menjadikannya satu amaran, yang bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi bukan Melayu."

5. Setelah menyiarkan tuduhan TPM Muhyiddin Yassin terhadap Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat pada 3 Ogos 2009, Utusan Malaysia memaparkan berkali-kali gambar penyokong UMNO yang mengangkat banner tertulis "Anwar Pengkhianat" di muka depan akhbar tersebut.

PR terperangkap?

Semalam, PM Najib mengarahkan agar "mereka yang hina Islam dan membangkitkan ketegangan kaum" disiasat. Persoalannya, siapa yang mewujudkan suasana ketegangan kaum?

Walau bagaimanapun, PR dilihat terperangkap ketika berdepan dengan "serangan" BN yang bertalu-talu ini. PAS Selangor sendiri mengalihkan pandangan dari ISA kepada isu penjualan arak pada saat-saat genting ini, memberi kesempatan BN untuk bernafas, malah terus memerangkap PR dalam soal agama ini.

Juga tidak dinafikan bahawa DAP yang kurang sensitif dengan senario sedemikian, mewujudkan lebih banyak pertikaian daripada penyelesaian. Misalnya, Ketua Staf pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Jeff Ooi telah mengheret pertubuhan JIM ke dalam perbalahannya dengan Ahli MPPP, Hj. Mohd. Razali, mencetuskan perselisihan yang sememangnya boleh dielakkan.

Malah, kenyataan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke Siew Fook yang membidas pandangan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, apabila dipetik dan kemudiannya disiarkan di blog, dituduh "menghina Islam" oleh ahli parlimen PKR Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin. Sekali lagi, ia memberi ruang kepada BN untuk masuk jarum.

Isu-isu seperti replika Najib, sikap Jeff Ooi yang enggan mohon maaf dan sebagainya dijangka bakal mengundang pertikaian yang tidak berakhir. Seandainya Utusan Malaysia dibaca hanya pada tajuknya, seperti "Negara dalam bahaya-Azlan", "DAP hina institusi raja Perak", "Pengkhianat Melayu perlu ditentang-Muhyiddin" dan sebagainya, kita akan memahami bahawa UMNO-BN telah mengheret persaingan politik ke alam media.

Cuma, apakah PR akan terus terperangkap, atau sengaja diperangkap?

*Lim Hong Siang ialah editor www.merdekareview.com/bm .

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower