Menurut mereka, kemenangan "nyawa-nyawa ikan" dengan 65 undi antaranya berpunca daripada perbalahan yang berterusan dalam PAS berhubung isu kerajaan perpaduan.
Mereka juga mendakwa, ahli-ahli PAS juga tidak puas hati kerana "mereka dibiarkan gelisah dan resah dengan pelbagai soalan yang sukar dijawab.
Mohd Fauzi mendapat 5,348 undi, manakala Tuan Aziz mendapat 5,283 undi.
Satu artikel di laman web Tranungkite mendakwa berlakunya perpecahan dalaman PAS terutama petugas dari Kelantan dan Terengganu, yang menurutnya, saling sindir-menyindir antara satu sama lain.
Tulisan itu menyebut: "PAS memang menang di Manek Urai tetapi dengan kemenangan yang sangat tipis. Kemenangan yang menjawab seribu satu persoalan selama ini."
"Secara ringkasnya PAS memang berpecah. Tanyalah petugas-petugas dari Terengganu apa 'kata-kata sambutan' dari PAS Kelantan.
"Tanyalah pula PAS Kelantan apa 'agenda dan doa' sesetengah dari PAS Terengganu.
"Kepada ahli PAS yang tidak tenggelam bersama suasana di Manek Urai, jangan sibuk menafikan ia tidak berlaku. Ada petugas Kelantan yang terang-terang menyindir '(penyokong) kerajaan perpaduan duduk jauh-jauh'.
"Ada pula yang dari Terengganu mengidamkan untuk melihat PAS kalah di Manek Urai."
Bagaimanapun ia ditentang keras oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sehingga ke peringkat menggesa Nasharuddin melepaskan jawatan timbalan presiden dan ahli parlimen Bachok jika ingin teris menyokong saranan kontroversi itu.
Cadangan itu kemudian ditolak majlis presiden Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, DAP dan PKR.
Penulis di laman web Tranungkite juga mendakwa isu kerajaan perpaduan turut menjadi antara salah satu punca kegagalan PAS menang dengan majoriti yang besar.
"Nyatalah puak TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) dan puak kerajaan perpaduan masih ada dan masih teguh dengan pegangan masing masing.
"Kedua-dua puak ini dengan sendirinya menggambarkan bahawa mereka sendiri tidak wala' (taat setia) dengan keputusan pimpinan parti," tulisnya lagi.
"Mereka hanya taat di luar sedangkan hati mereka busuk dan penuh dendam."
Timbul persoalan
Sementara ketua penerangan PAS Kawasan Padang Besar, Zolkharnain Abidin pula menulis di blognya bahawa walaupun PAS menang tipis dalam pilihanraya kecil itu tetapi parti itu "tewas dari beberapa sudut tertentu".
"Di Manek Urai, Umno tewas di atas kertas dan tewas juga dari semua sudut. Malah, di mana-mana pun, walaupun Umno menang, mereka tetap kalah dari sudut-sudut lainnya.
Untuk menggambarkan sudut-sudut kekalahan itu, beliau mengemukakan beberapa persoalan untuk renungan ahli dan pemimpin PAS.
"Kalau begitu, PAS kalah kepada siapa? Bagi saya, dalam sudut-sudut tadi PAS kalah kepada kepentingan-kepentingan, desakan-desakan, asakan-asakan dari dalam diri pendukungnya sendiri.
"Apa desakan, asakan dan kepentingan itu? Saya ada jawapannya tetapi saya tidak sampai hati untuk menyebutnya di sini.
Sementara itu, satu tulisan dalam laman web Detikdaily pula menyenaraikan empat sebab kegagalan PAS di Manek Urai.
Satu daripadanya, ia tidak berpuas hati dengan kenyataan Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun yang "mencerminkan kekurangan pengalaman kerana memberikan isyarat kepada media berkenaan kemenangan 'lebih 2000 undi' walaupun tidak dapat dibuktikan."
"Ini mencerminkan perjalanan pengurusan kempen yang dibuat dengan perasaan 'PAS sudah pasti menang'," katanya.
Tulisan itu juga mendakwa berlakunya perbalahan yang berterusan sama ada dalaman mahupun antara komponen Pakatan Rakyat.
"Isu timbalan presiden PAS dan Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hadi Awang dan (Datuk) Husam Musa, tidak dilupakan 'sengketa' antara ahli Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang, menjejaskan semangat petugas dan peraih undi.
"Ia tidak menjejaskan pengundi, tetapi rakyat kurang menerima perayu undi yang dapat dilihat semangat mereka lemah dan tidak bermaya.
"Isu Kg Buah Pala di Pulau Pinang dan boikot Hindraf sedikit sebanyak mempengaruhi," katanya.
http://www.malaysiakini.com/
No comments:
Post a Comment