.
`
refresh 4 new artikal
.

11 June 2009

PAS UMNO : PAS Yang Masih Mencari Partner Kata Pengkritik

Disini, blog Kelab GB ingin menampil satu tulisan hasil dari sorang pengkritik tersohor yang telah menulis ratusan rencana, ulasan, kritikan dan resensi buku, Sdr Mohd. Affandi Hassan mengenai PAS dan Kerajaan Perpaduan. Pandangan beliau adalah pandangan peribadinya sendiri.

Tajuk tulisan ini sengaja menggunakan perkataan Inggeris “partner” untuk maksud ironi (istilah Inggeris lagi!) dalam analisis politik, khususnya untuk menilai perilaku para pemimpin PAS sebagai “pejuang Islam”, supaya dapat dilihat perbezaannya (jika ada) dengan “pejuang Islam” dalam UMNO. Mungkin sudah ramai di antara kita yang sedar bahawa PAS masih tercari-cari partner yang selesa dengannya. Nampak gayanya PAS tidak selesa berada dalam Pakatan Rakyat, terutama sekali apabila Pakatan Rakyat gagal mempertahankan Perak daripada diceroboh oleh UMNO/BN. (Gambar, muktamar PAS baru-baru ini)

PAS jelas sekali sangat kecewa dengan kejadian itu. Keraguan PAS terhadap kepemimpinan Anwar Ibrahim tidak dapat disembunyikan lagi, apabila Presiden PAS mula “menggoda” Najib Tun Razak, Presiden UMNO dan Perdana Menteri, untuk menubuhkan apa yang dipanggil “kerajaan perpaduan”. PAS tidak berasa tersinggung untuk dituduh berusaha memecahkan Pakatan Rakyat yang diraguinya itu, dengan secara berani menggoda UMNO untuk sama-sama memerintah Malaysia.

Walaupun semua alasan yang dikemukakan oleh Presiden PAS tidak boleh dipakai dan tidak boleh dipercayai, kerana gelagat politik PAS sendiri sejak menjadi pertubuhan politik menyerlahkan sejenis tabiat politik yang unik (sama uniknya dengan tabiat politik UMNO) dan meragukan, namun cadangan “kerajaan perpaduan” itu penting dalam konteks kegagalan “kepemimpinan Islam” Malaysia memberi corak yang tegas dan jelas dari segi mencapai matlamat politik Islam. Bagi Presiden PAS, cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan itu adalah “cadangan saya sendiri yang dipersetujui oleh DAP dan PKR”.

Perhatikan egoisme yang terlalu jelas dan pekat dalam ucapan itu, yang melihat semuanya dalam konteks politik yang agak sempit dan tidak kena mengena dengan matlamat politik Islam. Benarkah dalam Islam “perpaduan” itu matlamat utama? Soalan yang mudah dan bodoh ini penting kerana jawapannya nanti akan mencirikan sifat-sifat perjuangan Islam sejati dan yang tertumpu pada kelangsungan matlamat peribadi yang dibungkus atas nama Islam. Jika para pemimpin Islam tidak mahu menjelaskan persoalan ini, maka perjuangan Islam akan terus kabur dalam konteks Malaysia, dan peranan PAS sendiri akan terus diragui.

Mengapa cadangan kerajaan perpaduan itu tidak baik bagi PAS dan Pakatan Rakyat? Juga tidak berguna untuk rakyat Malaysia? PAS tentu sudah faham dengan jelas tabiat politik UMNO yang pandai menggunakan kekuatan musuh politiknya untuk memacu kekuatannya sendiri dengan menggunakan perasaan tamak dan gelojoh kuasa di kalangan musuh politiknya. UMNO tahu perasaan tamak dan gelojoh kuasa boleh diumpan dengan istilah-istilah besar yang tidak bererti bagi UMNO sendiri. Misalnya istilah perpaduan. Bagi UMNO, perpaduan itu diperlihatkan seolah-olah diperlukan oleh rakyat, dan barang siapa yang memperlekeh perpaduan adalah anti-rakyat.

Dari segi politik UMNO, perpaduan (dan keselamatan negara yang mengiringinya) adalah senjata politik yang boleh digunakan bila-bila masa untuk melemahkan musuh politiknya. Dengan menggunakan alasan “demi perpaduan dan keselamatan” negara, seorang pemimpin UMNO yang sedang berkuasa dan kumpulannya, boleh mendigulkan sesiapa juga yang dikira mengancam kedudukannya, baik dari UMNO apatah lagi dari luar UMNO. Oleh itu apa bila Presiden PAS menghulurkan senjata politik itu kepada UMNO, dengan cepat mereka mengambilnya untuk digunakan atas nama rakyat bagi melemahkan musuh politiknya.

Kini kerajaan perpaduan dijadikan satu projek propaganda untuk mengelirukan penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia seluruhnya. Dengan nada mengejek yang tajam sindirannya, sambil tersenyum Timbalan Perdana Menteri berkata dia sendiri dan UMNO tidak tahu bagaimana bentuk kerajaan perpaduan itu kerana tidak dijelaskan oleh Presiden PAS yang baginya juga tidak jelas tentang cadangannya sendiri. Dengan itu Presiden PAS diberi imej sebagai orang yang suka bermain-main dengan politik untuk mendapat publisiti, bukan mengemukakan cadangan konkrit yang sudah difikirkan dengan mendalam dan masak-masak.

Pakatan Rakyat sendiri diletak dalam keadaan serba salah kerana tidak tahu hujung pangkal. Dalam politik Islam, peranan syura dijadikan asas untuk membuat keputusan. Bagaimana pula seorang tokoh politik Islam mengetepikan para pemimpin dalam Pakatan Rakyat untuk membuat keputusan sendiri atas nama Pakatan Rakyat? Ahli politik ini kelihatan begitu gelojoh hendak mendapat kredit dan publisiti murahan dengan menonjolkan projek kerajaan perpaduannya yang dia sendiri masih kabur.

Retorik murahan begini tidak sesuai untuk dijadikan permainan politik jika sekadar untuk mengelirukan dan menimbulkan perpecahan di dalam Pakatan Rakyat sendiri. Hanya kelemahan berfikir dan bertindak sahaja yang diperlihatkan, bukan ketajaman akal dan kebijaksanaan bermain politik yang benar-benar menguntungkan rakyat. UMNO dan PAS nampaknya, seperti biasa, terus bermain sunglap atas nama rakyat- [10/6/2009] Mohd. Affandi Hassan

Ulasan Ringkas GB:
Demikianlah pandangan "orang luar" terhadap PAS semenjak isu Kerajaan Perpaduan (UG) ini timbul.

Isu UG telah menarik perhatian banyak pihak untuk mengenali PAS dan kesan dari gagasan ini mereka ternampak pemimpin PAS telah menampilkan wajah PAS yang serupa dengan UMNO.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower