.
`
refresh 4 new artikal
.

16 April 2009

KUMPULAN PAK LAH JADI GURKHA ?

Keputusan Pak Lah dengan senang hati melepaskan jawatannya sebagai PM kepada Najib adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh sebilangan besar rakyat di negara ini. Sebahagian kecil di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau sudah cukup memberi isyarat bahawa tindakan Pak Lah itu tidak bijak sama sekali bagi menyelesaikan masalah politik yang menghantuinya. Bagaimana mungkin seorang tokoh yang memperkenalkan prinsip Islam Hadhari begitu tergamak menggadaikan maruah negara tercinta ini kepada Najib? Mustahil Pak Lah tidak sedikitpun tahu tentang latarbelakang Najib dengan berbagai isu dan skandal yang menyelimuti tubuh badannya?

Nasi telah menjadi bubur, tiada apa yang dapat dikesalkan lagi. Sudah nasib rakyat di negara kita mempunyai pemimpin seperti ini yang menganggap negara ini seperti tanah milik mereka yang begitu mudah untuk di`wasiat' atau di`faraid'kan. Pak Lah mungkin berasa lega kerana masalah beliau telah selesai, tetapi bagaimana dengan rakyat selepas ini? Tidak mungkin Pak Lah hanya ingin melihat menantunya KJ sahaja yang selamat selepas beliau berundur tanpa memikirkan nasib rakyat jelata? Dan, adakah menantu beliau KJ selamat sekarang seperti yang mungkin beliau harapkan? Apa yang pasti kini, Tun Mahathir tersenyum lebar walaupun dikatakan kerana beliaulah Umno/Bn tumbang dan aib di Bukit Gantang serta di Bukit Selambau. Mahathir boleh mengangkat kening dan hidungnya kerana Mukhriz anaknya yang telah dimalukan di dalam pemilihan Ketua Pemuda Umno baru-baru ini telah dapat ditebus maruahnya. Tidak perlu bersusah payah, Mukhriz yang kalah kepada KJ sebagai Ketua Pemuda Umno kini telah dilantik sebagai Timbalan Menteri manakala KJ yang menang pula hanya dijadikan `gurkha' oleh Najib. Tergamak sungguh Najib memalukan Pak Lah demi Mukriz anak Mahathir. Lebih mengaibkan dan tidak masuk akal bila Naib Ketua Pemuda Umno turut dilantik sebagai Timbalan Menteri. Apa lagi yang boleh diperkatakan oleh KJ kecuali `Na`am' dan mana mungkin KJ berani `menyembah derhaka' kepada Najib.

Kabinet yang dibentuk oleh Najib merupakan kabinet `tunggang langgang' sehinggakan ramai ahli-ahli Umno sendiri pening memikirkan atas formula apa yang Najib guna pakai. Jika dikatakan kabinet tersebut benar-benar bersih, mustahil kerana adakah Najib itu sendiri bersih? Dan bersihkan Ali Rustam yang masih kekal sebagai Ketua Menteri Melaka? Yang kalah malahan tidak bertanding pun di dalam Majlis Tertinggi Umno terpilih, menganggotai kabinet manakala yang menang dijadikan `gurkha'. Bekas Pengarah KAGAT, Jamil Khir Baharom tidak semena-mena dilantik sebagai Menteri yang menjaga hal ehwal agama, sedangkan ketika beliau berkhidmat di dalam ATM apakah kemajuan besar terhadap bidang agama yang dibawanya menerusi Kor Agama? Sehingga kini masih juga ada panglima tentera dan pemimpin kerajaan yang berdiri tegak tunduk tafakkur di depan batu dan patung Tugu Negara. Masih ramai dikatakan di kalangan warga tentera yang tidak tahu sembahyang, bahkan ada yang dikatakan tidak boleh mengucap dua kalimah syahadah dengan baik. Yang buta Al-Quran usahlah dikira. Jika di dalam organisasi tentera yang kecil itu pun Jamil Khir gagal melaksanakan tanggungjawabnya, mustahil beliau mampu merubah kerajaan di bawah Najib ini untuk mendaulatkan Islam.

Memperkatakan tentang MIC parti penting di dalam komponen Bn, jelas dan nyata parti tersebut tidak lagi dipandang releven oleh Umno/Bn. MIC kini menjadi seperti parti PPP yang ada tidak menambah dan jika tiada tidak mengurangkan buat Umno/Bn. Tumpuan Najib lebih tertumpu kepada MCA di Semenanjung dan parti-parti komponen Bn yang lain di Sabah dan Sarawak. Itulah wajah Umno sebenarnya yang akan tinggalkan kawan jika kawan berada di dalam kesusahan. Seandainya MIC mempunyai sedikit kewarasan dan moral, tiada jalan lain buat mereka kecuali meninggalkan Umno/Bn yang tidak pernah meninggalkan sikap egonya itu. MCA juga perlu berfikir demikian sebelum terlewat dan biarkan Umno bergantung nyawa dengan rakan-rakan mereka di Sabah dan Sarawak. Apakah ahli-ahli MCA tidak merasa tercabar bila mana Timbalan Presiden Umno menyatakan secara terus terang bahawa orang-orang Cina di Bukit Gantang tidak mengenang budi? Banyak sangatkah budi Umno pada masyarakat Cina ? Jika kepada orang-orang Melayu sendiri pun Umno gagal untuk membela nasib mereka, apalah sangat diharapkan oleh MCA kepada Umno.

Zaman untuk bercerita tentang memperjuangkan kaum itu dan kaum ini sudah berlalu. Zaman telah berubah di mana manusia lebih menilai keikhlasan dan ketelusan daripada membicarakan isu perkauman. Biarkan Ibrahim Ali, Ezam Raja Sesumpah, Syed Ali Habshee atau sesiapa sahaja yang merasakan begitu tinggi nilai Melayunya itu bercakap soal Melayu. Bukan rakyat tidak tahu Melayu manakah yang pernah berhempas pulas untuk menjatuhkan kerajaan Negeri Kelantan di bawah PAS yang hampir 100 % rakyatnya Melayu itu. Mustahil rakyat lupa Melayu manakah yang sanggup `menculik' dua ADUN Melayu di Perak demi untuk menjatuhkan MB Melayu di Perak. YAB Ir Nizar dikatakan boneka DAP tanpa mereka dapat buktikan hatta satu bukti pun menunjukkan YAB Ir Nizar adalah boneka DAP. Tidakkah Najib juga boleh dikatakan boneka Mahathir ? Buktinya? Tidak perlu saya jawab, mungkin KJ atau Pak Lah sendiri mampu menjawabnya.

Pakatan Rakyat harus terus berjuang agar seluruh rakyat di negara ini lebih mengenali Umno/Bn. Mengenal musuh terlebih dahulu sebelum bertempur adalah kaedah yang terbaik untuk mencapai kemenangan. Biarlah nakhoda Umno bertukar silih berganti tetapi hakikatnya bahtera Umno kini semakin reput di makan usia. Percayalah, Umno tidak akan berubah kerana bak kata pepatah cina ` Ikan yang busuk bermula di kepala'. Siapakah kepala Umno sekarang ?




WFAUZDIN NS

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower