Dua puteri Anwar kekal kesetiaan, percaya kebenaran akhirnya akan tetap menjelma
Dakwaan liwat terhadap ayahnya sekali lagi memberikan tekanan kepada keluarga mereka dalam meneruskan liku-liku hidup yang berbaki. Jika disabitkan kesalahan, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi bakal berhadapan hukuman penjara. Namun, ahli keluarganya tetap bersatu hati menghadapinya. Ikuti wawancara bersama anak sulungnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan anak kedua, Nurul Nuha Anwar. Wartawan Sinar Harian, MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN dan MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN mendapatkan suara hati daripada dua anak bekas Timbalan Perdana Menteri yang pernah dipenjarakan selama enam tahun. Beberapa bahagian yang menyentuh perbicaraan dakwaan liwat terhadap Anwar tidak dapat dipaparkan untuk bacaan umum.
Sudah dua kali dakwaan liwat dikenakan terhadap Datuk Seri (Anwar Ibrahim), bagaimana hubungan anda sekeluarga dan adik-beradik dalam memberikan kepercayaan kepada ayah?
NURUL NUHA: Alhamdulillah, semuanya semakin rapat, kerana kami adik-beradik sudah melaluinya untuk kali kedua. Jadi kali ini kami lebih bersedia dengan kemungkinan berlaku. Kepercayaan kami terhadap ayah tetap sama. Malah hubungan adik-beradik kami lebih erat.
Ayah anda ada terangkan kepada keluarga mengenai perbicaraan liwat kali kedua ini?
Nurul Izzah: Ayah ada terangkan kepada kami semua. Kami pun agak terkejut sebenarnya, kerana perkara ini datang secara drastik. Apa yang pasti kami sekeluarga menghadapinya dengan hati yang satu.
Berikutan tuduhan kali ini, anda dan adik-beradik akan berdepan dengan segelintir masyarakat yang disifatkan suka jadi “nasi tambah dan jaga tepi kain orang”. Bagaimana anda berhadapan dengan perkara ini.
Nurul Nuha: Saya bersyukur dengan sokongan rakan-rakan dan masyarakat. Alhamdulillah kesemuanya memahami keadaan saya dan adik-beradik lain. Lagipun banyak media alternatif boleh melaporkan perkara sebenar, amat jelas berbeza dengan media arus perdana. Saya percaya rakan-rakan dapat menilai mana yang benar dan sebaliknya dengan paparan itu.
Maksud anda media alternatif, bukankah media itu telah ditentukan mengikut ideologi pengarangnya. Ibarat siapa kawal media, dia akan tentukan agenda. Jadi ia masih sukar dikawal sedangkan orang mahu suara hati anda. Oleh itu, adakah dalam masa terdekat ini anda juga tidak terkecuali menghasilkan blog sendiri sebagaimana anak kebanyakan pemimpin lain bagi menjelaskan perkara sebenar.
Nurul Nuha: Oh (tersenyum), buat masa ini saya tidak bercadang mewujudkan blog terbaru milik sendiri bagi menjelaskan sesuatu. Cukuplah dengan apa yang ada hari ini. Seperti yang saya cakapkan tadi, media alternatif ada, biarlah pembaca tentukan kesahihan kandungannya. Lagipun kakak (Nurul Izzah) juga ada blognya, jadi saya juga boleh menggunakannya sebagai medium jika perlu menerangkan sesuatu isu. Kita semua sedia maklum, kebanyakan media arus perdana 'dimiliki', mereka langsung tidak memberi peluang kepada kami untuk menjelaskan perkara sebenar, walaupun untuk lima minit.
Ramai orang berpendapat Anwar sentiasa berdolak-dalik dalam menghadapi dakwaan lihat hari ini, sedangkan beliau juga menggunakan haknya sebagai tertuduh dan menggunakan saluran perundangan dengan setiap apa yang dilakukannya. Apakah pandangan YB sebagai seorang anak?
Nurul Izzah: Ini yang perlu saya terangkan, kami menggunakan saluran yang ada dalam menghadapi tuduhan. Lebih-lebih lagi ini kali kedua dengan dakwaan yang sama terhadap ayah. Kami diserang dari pelbagai sudut. Sedangkan untuk berperang (perbicaraan) kita memerlukan persediaan yang secukupnya. Ini isu yang penting, saya harap orang ramai pun kena faham dari aspek perundangan kerana setiap kes yang berlaku akan menjadi rujukan kepada kes-kes seterusnya. Mahkamah ini penting, sebab itu ayah menggunakan semua saluran yang ada. Dulu, ayah bukannya mudah dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan, selama enam tahun dipenjara baru kita dapat bebaskan ayah. Kita juga perlukan penilaian terbaik dan semestinya kita akan berlawan sehingga ke hujungnya.
Ada juga yang berkata Anwar sengaja melengah-lengahkan kes ini sehingga ke pilihan raya umum yang akan datang. Apa komen YB?
Nurul Izzah: Itu bukan isunya. Isu yang paling penting di sini ialah kita hendak mendapatkan akses kepada semua bukti, kalau nak dakwa pun biarlah buat secara adil. Bagi saya jelas, orang nak bercakap apa pun, cakaplah, tetapi yang penting kita pergi kepada fakta kes. Dari segi Islam, hukuman terhadap orang yang memfitnah pun ada.
Dulu anda dan adik-beradik pernah berada dalam zon selesa sepanjang ayah menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan kini Ketua Pembangkang di Parlimen. Kedua-dua ini jelas membezakan keselesaan anda dan perlu menghadapi cabaran dengan lebih berani, termasuk dengan tekanan?
Nurul Nuha: Ya, kedua-dua itu memang ada perbezaannya. Cuma ketika ayah menjadi TPM, kami semua masih bersekolah, tidak terlibat dalam politik secara aktif. Tetapi sekarang sebahagian daripada kami telah habiskan pelajaran. Zon selesa masa itu tidak wujud seperti yang dimaksudkan saudara. Dalam masa ini kami juga membantu ayah dalam berkempen, tak terkecuali juga emak ketika menduduki kerusi Parlimen Permatang Pauh dulu. Manakala sebagai anak Ketua Pembangkang memang ada perbezaan dengan anak TPM.
Sebagai anak, apa pandangan YB terhadap kenalan ayah yang kini berpaling tadah?
Nurul Izzah: Sekarang kami berada dalam satu medan pertempuran yang sengit, kawan jadi lawan. Musuh sentiasa datang. Apa pun saya percaya jika kita terus istiqamah, kebenaran akan nampak sendiri, tapi tidak bermakna kita pasrah, kita hendaklah teruskan juga dengan kes di mahkamah.
sum3r
No comments:
Post a Comment