.
`
refresh 4 new artikal
.

10 September 2009

Kemelut Dalam MCA Janjikan Perkembangan Menarik Esok


KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Kemelut parti MCA membuka lembaran baru ekoran pengumuman kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mengkaji projek kontroversi Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dua pihak berseteru yang menjadi pelakon utama dalam kemelut itu;

Di satu pihak membabitkan penyokong Timbalan Presiden MCA yang dipecat Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan di satu pihak lagi penyokong Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat; masing-masing mempunyai intepretasi sendiri dalam melihat perkembangan lanjut isu tersebut.

Dr Chua dijangka akan mengadakan satu persidangan akhbar di Petaling Jaya pagi Jumaat, sejam sebelum majlis presiden MCA bermesyuarat di ibu pejabat parti, Jalan Ampang di sini. Ia pasti perkembangan yang menarik.

Bukan sahaja anggota parti, malah orang ramai kini ternanti-nanti dan tertanya-tanya bila tarikh mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dirancang parti, untuk membaca apa perkembangan selanjutnya kemelut itu nanti.

Penganalisis politik berpendapat Dr Chua perlu menggunakan sepenuhnya faktor simpati bagi meraih sokongan agar dikembalikan kepada jawatan nombor dua parti, di samping menggerakkan undi tidak percaya terhadap presiden tanpa berlengah lagi.

"Sekiranya ia dilengahkan, faktor simpati itu akan hilang, dan ia akan memberi masa kepada Ong untuk membina sokongan," menurut salah seorang pemimpin parti itu yang enggan namanya didedahkan.

Sementara itu ada pula penyokong Dr Chua melihat penubuhan petugas khas PKFZ yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara tanpa membabitkan Ong itu sebagai satu tamparan kepada hasrat presiden parti untuk membawa isu PKFZ ke dalam EGM.

"Ini adalah sesuatu yang positif kepada kami, kedudukannya (ONG) dalam kerajaan sudah lemah," kata seorang penyokong Dr Chua.

Ong sebelum ini banyak bercakap mengenai isu PKFZ, dan beliau mendapat sokongan jawatankuasa pusat parti dalam setiap tindakannya berkaitan isu tersebut.

Beliau juga menulis dalam blognya bahawa EGM akan membenarkan anggota memberikan kata putus mengenai cara kepimpinan MCA menangani isu PKFZ, sebagai tambahan kepada usaha memperkasa dan meremajakan parti, serta berkaitan kes-kes disiplin.

Namun isu EGM sendiri masih terumbang-ambing apabila masing-masing meminta pihak satu lagi menunjukkan terlebih dahulu agenda yang sedang dirangka untuk dibincangkan dalam EGM.

Setiausaha agung MCA Datuk Wong Foon Meng sebelum ini meminta penyokong Dr Chua menghantar senarai tandatangan yang menyokong EGM itu, dan juga menyatakan sebab mengapa mereka mahu mengadakannya.

Wong ketika dihubungi berkata tarikh EGM masih belum ditetapkan walaupun ada pihak yang membuat spekulasi bahawa ia akan diadakan pada 27 Sept.

Hari terakhir bagi Dr Chua membuat rayuan terhadap pemecatannya ialah pada 16 Sept, namun sehingga kini beliau masih mengambil sikap berdiam diri mengenai perkara tersebut.

Apa yang pasti ialah semua anggota parti pasti akan memerhati dengan teliti hasil mesyuarat majlis presiden Jumaat ini.

Satu lagi majlis yang pasti dinanti-nantikan anggota MCA ialah mesyuarat jawatankuasa pusat pada 18 Sept ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower