.
`
refresh 4 new artikal
.

15 July 2009

Reformasi Tanpa Anwar 2



Oleh: Amin Ahmad

Reformasi 2.0a:

Berderailah air mata rakyat apabila DS Anwar ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Jika tidak kerana kebijaksanaan DS Anwar menjangka bahawa beliau akan ditangkap dan memaklumkan sikapnya kepada para pengikut yang ramai berkumpul di rumahnya di Damansara pada waktu itu, saya kira tidak mustahil nama DS Anwar kini sudah tercatat di mana-mana batu nesan di Cherok Tok Kun.

Jelajah penjelasan DS Anwar ke seluruh negara waktu itu tertangguh. Rasa tidak menentu berselubung. Memikirkan sekumpulan polis bertopeng yang memecah masuk dan lengkap bersenjata, tidak ada apa yang boleh menidakkan sangkaan yang buruk tentang nasib DS Anwar. Cukup popular waktu itu baris kata “jika saya (DS Anwar), bekas Timbalan Perdana Menteri boleh dilakukan sebegini rupa, apatah lagi nasib rakyat biasa”.

Jika kita dapat kesan, DS Anwar selalu memilih bahasa mudah yang dalam maksudnya untuk menyuntik kesedaran rakyat. Sebab itu, saya selalu ingat, malah juga diceritakan ramai rakan-rakan saya yang pernah bertemu DS Anwar; pesan beliau “don’t underestimate the wisdom of the peoples” (jangan meremehkan kebijaksanaan rakyat).

Saya berpeluang berjumpa dan berbual dengan ramai tokoh – pelbagai parti dan pelbagai tahap dalam hierarki parti. Selalu saya ingatkan bahawa agenda perubahan dari kata Islah, Reformasi atau Transformasi yang mahu digunapakai, political languages (bahasa politik – maksud saya retorika politik) perlu diubah. Bahasa eksklusif tidak ada daya penarik. Kita jangan sekadar pandai mengambil nama-nama tokoh untuk dititip dibibir tanpa mahu cuba memahami kelebihan-kelebihan yang menjadikan mereka berpengaruh. Seburuk-buruk Hitler, dalam pengajian komunikasi beliau tetap punya tempat tersendiri.

Tapi sayang, ahli politik memang biasa dengan top-down approach. Mereka mahu semuanya di bawah kawalan mereka. Sebab itu untuk saya DS Anwar ada keunikan tersendiri. Tatkala bergerak ke kerusi kekuasaan, beliau menumpahkan pandangan politiknya yang sebenar melalui Gelombang Kebangkitan Asia atau biasa kita dengar buku Asian Renaissance. Saya bersyukur kerana berjaya mendapatkan semula buku ini dalam bahasa Melayu selepas buku pertama hilang dicuri! Ketika saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) – penerbit buku ini, saya dimaklumkan bahawa kerajaan telah memerintah lupus buku ini, namun staf DBP tersebut masih menyimpan 7 naskah buku ini jika saya mahu membeli.

Kebencian kerajaan pimpinan DS Dr. Mahathir kepada DS Anwar cukup dalam. Selepas cabaran Tengku Razaleigh lewat 1980-an, ternyata DS Dr. Mahathir tidak mahu lagi dicabar. Seorang doktor, ahli sains sering ditanggap berfikiran bahawa 1+1 mesti = 2. Manakala DS Anwar selaku tokoh belia, dilatih dalam bidang pengajian Melayu, ternyata mempunyai corak fikir kemanusiaan 1+1 mungkin tidak menjadi 2.

Rumusan masyarakat Madani ternyata satu kaedah yang tidak disukai DS Dr. Mahathir. Bacalah pengantar buku tersebut. Ia dinyatakan ketika mereka berdua masih memimpin kerajaan. Tidak ada ahli politik Malaysia yang berada di kedudukan DS Anwar waktu itu yang berani mengambil jalan memberikan kuasa kepada masyarakat sivil (baca: rakyat) ketika suara-suara lain bertumpukan usaha memusatkan kuasa (centralization). Tidak perlu pergi sampai kepada Perdana Menteri, pemimpin JKKK pun sudah cukup, seboleh-bolehnya mahu mengawal segalanya.

Di sanalah yang membezakan DS Anwar dengan DS Dr. Mahathir. Penghakupayaan masyarakat hanya mungkin subur dengan urus tadbir yang baik serta kedaulatan undang-undang. Dari sanalah persoalan Ekonomi yang Manusiawi ditawarkan – sambil kita mendongak langit menjana pertumbuhan, kita jangan lalai merenung ke bawah tempat berpijak. Tanpa gagal, dalam tiap pembentangan Belanjawan (yang ditukar menjadi Bajet oleh DS Dr. Mahathir), DS Anwar tidak lupa menyebut tentang surplus money dari hasil ekonomi negara patut diurusi dengan pengiktibaran kisah mimpi Nabi Yusof a.s. tentang 7 ekor lembu gemuk dan 7 ekor lembu kurus. Tanyalah orang UMNO hari ini, di mana simpanan sekitar RM 5-6 billion dalam Tabung Warisan Generasi yang diilhamkan DS Anwar untuk generasi mansang saat DS Dr. Mahathir rakus menyelamatkan ‘projek-projeknya yang gagal’. Kita tidak lagi mendengar Perwaja dan Renong misalnya.

Tidak lama usai DS Anwar ditangkap, khabar tiris dari penjara mengatakan bahawa beliau telah dipukul teruk justeru pihak polis telah mengisytiharkan bahawa beliau ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ezam Mohd Nor selaku Setiausaha Politiknya waktu itu yang berkenala melindung nasib di Indonesia telah mengeluarkan kenyataan selepas dirumus bersama ‘orang-orang Anwar’ yang lain bahawa yang memukul DS Anwar dalam kes mata lebamnya yang popular itu ialah Ketua Polis Negara (KPN).

Pernah, semasa saya di tingkatan 5 itu, khabar angin sampai ke Perlis bahawa DS Anwar meninggal di dalam penjara. Saya masih ingat subuh itu cukup suram. Saya tidak ada kata mahu diungkap, sekadar menanti berita sahih.

Tidak cukup dengan itu kita tahu bahawa affidavit DS Nalakaruppan tiba-tiba muncul di dalam media walhal beliau masih belum dibawa ke mahkamah untuk didakwa!

Kita juga tahu Sukma dan Munawar Anees telah dijatuh hukum dalam bicara 30 minit tanpa peguam yang dilantik mereka sendiri! Pernah sekali DS Anwar bergurau dengan stafnya tidak lama selepas isu tuduhan Saiful meletup “Susah betul saya nak ambil staf sekarang – dulu yang tua (Munawar Anees) pun kena tuduh, nak ambil perempuan pun kena, nak ambil yang muda pun kena, kali ini saya cuba ambil yang ‘sihat’ sikit (merujuk Eekmal, SU Akhbar DS Anwar sekarang, haha – jangan marah Eekmal!).

Kita juga tahu dari keterangan Dr. Zahari bahawa polis ada meminta sampel darah DS Anwar untuk tujuan yang bertentangan dengan tujuan asal sampel darah ini diberikan. Kita juga tahu kisah duta Malaysia cuba membayar rasuah kepada seorang lelaki kulit hitam di Amerika untuk mengaku ada hubungan homoseksual dengan DS Anwar. Mujur ada kewarasan untuk lelaki ini muncul membuat pengakuan. Kita juga terkejut dengan kehadiran Lim Kong Boon yang dikatakan pakar kimia tetapi penghujahannya kemudian ditolak mentah oleh mahkamah kerana ‘merepek’nya dia hingga boleh menjejaskan isu pendakwa raya. Lebih jauh daripada itu, tarikh-tarikh pendakwaan berubah mengikut kesesuaian polis walhal mereka telah merampas diari DS Anwar pada malam tangkapan! Aneh! Sama seperti kes Saiful – siasatan apa yang mereka buat apabila pertuduhan muncul mengatakan Saiful secara sukarela membuat hubungan homoseksual walhal Saiful mengatakan tanpa rela. Apa yang disiasat?

Malah, kita juga tahu dalam kes dakwaan kepada DS Anwar tahun 1998, bahawa Perdana Menteri telah wewenang menolak sapina melalui peruntukan khas undang-undang yang ada padanya.

Umumnya, saya seorang yang pragmatik. Saya bergiat dalam kegiatan dakwah tabligh untuk satu tempoh dan ia telah membina paradigma yang kuat untuk saya melihat bahawa semua manusia adalah ‘rakan’ saya di mana kami sama di sisi Allah s.w.t. dan kami perlu bersama-sama mengusahakan redha Allah s.w.t.

Kesan dari paradigma ini ialah saya tidak mampu membenci orang-orang UMNO mahupun parti-parti lain. Untuk saya, ruang dakwah itu sentiasa terbuka. Mereka dan saya sendiri sentiasa terdedah kepada kesilapan dan harus sedar serta berusaha memperbaikinya.

Tapi saya tidak berkompromi untuk menyatakan sikap politik saya secara jelas. Bahawa persoalan dakwah bertahap itu tidak semestinya saya membiarkan negara ini hancur di tangan mereka yang tidak peduli persoalan sebuah negara bermaruah.

Dari apa yang saya nyatakan di atas jelas:

1. Polis yang dulunya sumber pengharapan rakyat sedia berkhidmat untuk sebuah kekuasaan UMNO biarpun ia di luar prinsip, kemunasabahan dan keadilan.
2. Media yang dikawal jelas hanya pembesar suara kepada godfather politik yang menguasainya.
3. Institusi kehakiman hilang kewarasan undang-undang.
4. Bidang profesionalisme mahu diluluh lantak untuk menjustifikasikan kes.
5. Perdana Menteri hilang pertimbangan tentang sebuah negara hukum.

Untuk saya, 5 perkara inilah, dalam kes 1998 yang menjadi teras kenapa saya menolak dakwaan terhadap DS Anwar dan percaya bahawa ini adalah konspirasi peringkat tertinggi untuk mematikan karier politik DS Anwar. Tidak ada kompromi untuk apa yang saya sifatkan tiang-tiang yang membina sistem kenegaraan. Sebab itu untuk saya DS Anwar boleh dipecat dengan cara wajar, mengikut lunas parti atau kuasa Perdana Menteri menasihat DYMM YDP Agong. Oh ya, sampai hari ini kita tidak pernah melihat dokumen rasmi ini. Raja Negeri Sembilan waktu itu tentulah Raja yang saya fikir tidak mudah mengambil keputusan sepenting itu. Kita tahu Arwah Raja dan Permaisurinya pernah bertemu DS Anwar di Munich, Jerman. Kita juga tahu sejarah bagaimana Raja Negeri Sembilan selaku Raja Pertama di takhta pasca Merdeka datang dari luhur yang demokratik dan memahami sistem kenegaraan.

Konspirasi dan Reformasi akan terus hidup dan bertarung. Ia belum berhenti selagi DS Anwar hidup.

Persoalan penting buat kita – Apa kisah Reformasi Tanpa Anwar?

(bersambung Reformasi 2.0b).

http://perakexpress.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower