.
`
refresh 4 new artikal
.

27 July 2009

Perpaduan Antara Kerajaan Ya, Antara Parti Tidak – Nik Aziz



Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau telah mahukan perpaduan dan kerjasama diantara UMNO dan PAS.

Ketika bercakap kepada PAS TV pagi ini di pejabatnya, Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau mahukan Barisan Nasional menunaikan tanggungjawabnya sebagai Kerajaan Pusat seperti yang diamanahkan dan atas dasar itu beliau bersedia mengetuai usaha menjalinkan hubungan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat.

“Saya usulkan hubungan dua kerajaan (Negeri dan Pusat) dipulihkan sesuai dengan semangat federalisme,” kata Nik Aziz.

Semangat Federalisme

Menteri Besar Kelantan itu menegaskan apa yang beliau mahukan ialah Barisan Nasional menjunjung semangat federalisme seperti yang diterima pakai dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Persekutuan Malaysia.

Kelantan adalah salah satu negeri yang membentuk persekutuan tersebut dan hak Kelantan terjamin didalam perlembagaan. Bagaimanapun sejak Kelantan kembali ditadbir oleh PAS bermula 1990, Barisan Nasional sebagai Kerajaan Persekutuan telah menyekat hak-hak Negeri Kelantan dalam banyak aspek.

Tindakan diskriminasi dan pelbagai tekanan bersikap politik ke atas negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh Barisan Nasional adalah sama sekali tidak mengikut semangat federalisme. Tindakan sebegini telah berjaya menumbangkan kerajaan PBS di Sabah tetapi tidak di Kelantan.

Selepas pilihanraya umum ke 12 bila 5 negeri di Semenanjung Malaysia tidak lagi ditadbir Barisan Nasional, pihak Kerajaan Persekutuan tidak insaf dengan penolakan rakyat terhadapnya sebaliknya semakin galak menyalahgunakan kedudukannya sebagai Kerajaan Persekutuan untuk menumbangkan negeri-negeri tersebut secara tidak demokratik.

Kerajaan Negeri Perak berjaya ditumbangkan pada Februari 2009 dan kini Barisan Nasional menggunakan jentera-jentera Kerajaan Persekutuan untuk menumbangkan Kerajaan Negeri Selangor.

Kerjasama Negeri dan Persekutuan penting

Sehubungan dengan itu menurut Tuan Guru, intipati kehendaknya ialah memperkasakan semula hubungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri dan Persekutuan dipilih oleh rakyat yang keluar membuang undi dengan demikian ia harus membelakangkan soal parti dan mengutamakan hak rakyat dalam pentadbirannya.

Dari sudut Negeri Kelantan, Nik Aziz melihat banyak isu yang tidak diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan seperti isu tuntutan royalti, isu geran kewangan persekutuan kepada negeri, isu projek pembangunan persekutuan kepada negeri dan sebagainya, “sebab itu saya nak pulihkan hubungan ini,” kata Nik Aziz.

“Ini bukan urusan parti, saya tak minat nak pulih soal parti sebab itu isu lain,” tegasnya.

Mencabar media kemukakan bukti

Menurut Nik Aziz, beliau tidak pernah sekali-kali berganjak daripada pendiriannya sebagai Mursyidul Am PAS bahawa kerjasama antara parti UMNO dan PAS tidak perlu diadakan bahkan beliau tidak setapak pun berganjak dari tentangannya terhadap gagasan Kerajaan Perpaduan.

“Itu mainan UMNO, bukan datang dari PAS”, tambahnya.

Dengan kalimah itu, Nik Aziz pagi ini mencabar semua wartawan akhbar dan wartawan penyiaran yang hadir di dalam sidang-sidang medianya beberapa hari kebelakangan ini untuk membuktikan menerusi rakaman audio atau video bahawa beliau mengusulkan kerjasama UMNO-PAS.

Hikayat Laila dan Majnun

Menteri Besar Kelantan itu merumuskan UMNO didalam keadaan amat terdesak dan menyamakan sikap UMNO terhadap PAS seperti Hikayat Laila dan Majunun.

“Nak sangat bersama, sampai kalau orang dah tak mau pun dia nak jugak, jadi boleh tulis nama atas pasir pun jadilah,” kata Tok Guru.

“Sebab tu UMNO dok suruk media ini tulis soal perpaduan soal kerjasama macam cerita Laila Majnun,” tambahnya lagi.

Nik Aziz juga menegaskan segala-galanya bermula selepas majlis perlancaran Fiesta Kelantan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada hari Jumaat lepas apabila Menteri Besar Kelantan itu duduk semeja dengan Dato’ Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan juga Ketua Perhubungan UMNO Kelantan.

Selepas majlis tersebut, kedua-dua mereka menghadiri sidang media.

“Dalam sidang media itu, saya kata Kerajaan Persekutuan kena berbaik semula dengan Kerajaan Negeri, saya akan terus usahakannya,” kata Nik Aziz lagi.

“(Dato’) Mustapha Mohamed yang duduk bercakap pasal nak jalin hubungan antara parti (UMNO dan PAS), saya bercakap pasal Kerajaan,” tegasnya.

Nik Aziz turut berkata beliau tidak pernah serik walaupun sudah hampir 19 tahun berusaha untuk memulihkan hubungan Persekutuan dengan Negeri dan beliau tidak pernah berhenti berusaha ke arah itu demi kepentingan rakyat Kelantan dan Negara Malaysia.

Satu Lagi Projek Barisan Nasional

Selepas sidang media tersebut, Astro Awani pada malam Sabtu telah bertungkus lumus mengenengahkan isu kesediaan Nik Aziz menjalinkan kerjasama UMNO dan PAS. Astro Awani juga menemuramah pemimpin-pemimpin UMNO yang rata-rata mengalukannya.

TV3 pula dalam Buletin Utamanya semalam turut menghangatkan lagi isu tersebut.

Berita tentang kononnya Nik Aziz sudah lembut hati didalam isu kerjasama UMNO PAS juga mendapat liputan meluas media cetak.

Ianya dilihat sebagai sebuah projek Barisan Nasional mahu menjatuhkan kredibiliti Musyidul AM PAS yang sebelum ini konsisten menentang Muzakarah UMNO PAS dan gagasan Kerajaan Perpaduan. Dengan apa yang berlaku sejak Jumaat lalu, ia pasti mengelirukan penyokong PAS dan rakyat jelata seterusnya menampakkan Nik Aziz seolah-olah tidak konsisten dan sering berubah-ubah pandangan.

Menghancurkan kredibiliti Nik Aziz dikalangan ahli PAS adalah taktik UMNO bagi melenturkan pengaruh Nik Aziz dikalangan akar umbi PAS dan seterusnya menghuru-harakan suasana didalam PAS dan Pakatan Rakyat.

Walaupun Nik Aziz cuba memberikan persepsinya yang sebenar didalam sidang-sidang media selepas itu, kenyataan-kenyataannya terus diceduk diluar konteks bagi memperkuatkan niat jahat BN.

Dengan kenyataan yang dibuat dipejabatnya pagi ini menerusi TVPAS, diharap segala-gala usaha jahat BN ini berkubur.

Kota Darulnaim,

http://kickdefella.wordpress.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower