.
`
refresh 4 new artikal
.

28 July 2009

Perbicaraan permohonan kebenaran Sivakumar didengar 4 September


KUALA LUMPUR: Permohonan kebenaran bekas Speaker Dewan Undangan (DUN) Perak, V Sivakumar untuk semakan kehakiman bagi meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan tiga kawasan pilihan raya itu kosong dan mengadakan pilihan raya di kawasan berkenaan akan didengar Mahkamah Tinggi, 4 September ini.

Hakim Lau Bee Lan menetapkan tarikh itu apabila kes berkenaan dikemukakan untuk sebutan di kamar beliau hari ini.

Permohonan kebenaran Sivakumar akan didengar bersama dengan permohonan yang sama yang dikemukakan oleh tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang, Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan A Sivanesan dan tiga orang pengundi, Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai(Jelapang).

Mereka mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap SPR, yang meminta untuk memaksa suruhanjaya itu mengisytiharkan bahawa kerusi di tiga kawasan pilihan raya berkenaan kosong berikutan peletakan jawatan tiga Adun, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang).

Mereka juga mahukan mahkamah mengeluarkan satu perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiganya daripada bertindak dan menjalankan fungsi dan tugas sebagai Adun.

Mereka juga meminta satu writ "quo warranto" untuk memaksa ketiga-tiga Adun itu menunjukkan sebab mereka masih lagi mewakili kawasan pilihan rayanya dan menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai ADUN.

Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi itu atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Hee daripada DAP pada pilihan raya umum tahun lalu.

Mereka kemudian keluar parti masing-masing dan berjanji menyokong Barisan Nasional (BN), yang membawa kejatuhan kerajaan campuran Pas-DAP-PKR di Perak yang ketika itu diketuai Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Pada 3 Februari lalu, Sivakumar memberikan notis kepada SPR bahawa ketiga-tiga kerusi DUN itu kosong setelah menerima surat kononnya peletakan jawatan Adun berkenaan.

SPR bagaimanapun meragui peletakan jawatan itu dan enggan mengadakan pilihan raya kecil di kawasan DUN berkenaan.

Peguam Sivakumar Razlan Hadri berkata beliau dimaklumkan hakim itu di kamar hari ini bahawa ada lagi afidavit difailkan semalam untuk menyokong pertikaian mereka bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang bersejarah itu pada 9 April lalu, mengisytiharkan SPR badan yang sah untuk mengisytiharkan kerusi itu kosong dan bukan Sivakumar, yang pada ketika itu ialah Speaker DUN, tidak menjejaskan permohonan Sivakumar.

Keputusan itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutan dalam kes ini yang dikemukakan oleh ketiga-tiganya terhadap Sivakumar, untuk meminta satu pengisytiharan bahawa mereka adalah wakil yang dipilih dengan sah bagi tiga kawasan pilihan raya berkenaan sungguhpun Sivakumar telah mengumumkan bahawa kerusi berkenaan telah kosong.

Ketiga-tiga Adun itu memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi tetapi kemudian memohon untuk merujuk perkara itu terus ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu perlembagaan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya yang mewakili Pejabat Peguam Negara berkata mereka akan membangkitkan bantahan permulaan bahawa permohonan Sivakumar telah menjadi akademik berikutan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 April lalu. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower