Aisyah Jamilah Wan Ahmad, yang tidak dinyatakan tempat belajarnya, termasuk tujuh aktivis mahasiswa yang ditahan di dua balai polis petang 17 Julai lalu selepas ditangkap dekat bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak.
Perkara tersebut diadukan oleh penyelaras Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Lee Song Yong kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pagi ini.
 Memorandum yang mengandungi butiran aduan itu dihantar  oleh beberapa kumpulan mahasiswa, termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam  Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya  (PMIUM).
Lee juga mendakwa, polis enggan membenarkan tiga - yang ditahan  di balai polis Sentul -daripada tujuh pelajar itu mendapatkan khidmat peguam  walaupun telah memberikan kerjasama dan pengamal undang-undang telah lama  menunggu.
"Dalam tempoh penahanan selama 24 jam, tiga orang mahasiswa  hanya diberi (makan) dua keping roti," tambahnya, yang ditahan di situ bersama  dua lagi aktivis pelajar.
"Mereka ditahan dalam dua bilik kecil dan  seramai 16 orang (tahanan) terpaksa berkongsi ruangan yang terhad sehingga  beberapa orang terpaksa tidur di tepi tandas."
Lee juga mendakwa "tahanan  tidak dibenarkan memakai baju dalam cuaca yang sejuk," selain tidak dibekalkan  minuman yang bersih, sebaliknya meminta tahanan mengambil air paip.
Polis  juga didakwa tidak profesional apabila tersilap membawa tiga pelajar itu ke  mahkamah untuk mendapatkan perintah reman.
"Perkara ini kami anggap  sebagai tindakan dan kesilapan yang menyusahkan tahanan," katanya dalam aduan  tersebut.
Empat lagi pelajar, termasuk Aisyah Jamilah dan mahasiswi  Shamsul Mahida Abd Malek, ditahan di balai polis Dang Wangi.
Beberapa  kumpulan siswa itu juga mengadu kepada Suhakam berhubung penahanan Presiden  PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin yang disoal siasat berhubung isu-isu semasa  termasuk isu kematian Teoh Beng Hock  dan demonstrasi besar menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1 Ogos  ini.
Beliau antara tiga suspek yang dicari polis bagi siasatan kes  menconteng dinding dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam (API) dengan  perkataan "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya," selain cubaan membakar di  tempat itu.
Shazni Munir dijangka akan dibawa ke mahkamah dalam masa  terdekat selepas dua lagi pelajar API dibawa ke muka pengadilan 30 Jun  lepas.
Dalam aduan yang sama, mereka juga membawa isu penahanan dua  pemimpin Dema - Ong Jing Cheng dan Yap Heng Lung - di balai polis Pantai atas  siasatan kes menceroboh Universiti Malaya, 12 Julai lalu.
Polis didakwa  menafikan hak Ong dan Yap membuat aduan polis bagi membalas laporan polis  pegawai keselamatan universiti dan juga memaksa kedua-duanya menurunkan  tandatangan di borang melucutkan hak mereka untuk mendapatkan khidmat guaman.
~malaysiakini~
No comments:
Post a Comment