.
`
refresh 4 new artikal
.

16 July 2009

Anwar berjaya dapat dokumen kecuali spesimen Saiful

KUALA LUMPUR 16 Julai — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berjaya dalam usahanya untuk mendapatkan dokumen dan barang kes berkaitan kes liwatnya di Mahkamah Tinggi di sini tetapi gagal mendapatkan sampel spesimen yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah semasa membenarkan permohonan Anwar bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk memaksa pendakwaan membekalkan dokumen dan barang kes itu, memerintahkan pihak pendakwaan untuk membekalkan barang-barang berkenaan dalam masa tujuh hari.

Semasa menolak permohonan Anwar untuk dibekalkan dengan sampel spesimen Mohd Saiful dan beberapa sampel yang lain Hakim Mohamad Zabidin berkata ini kerana barang kes itu telah dimeterai oleh ahli kimia tetapi pihak pembelaan boleh memohon untuk meneliti sampel-sampel itu setelah ia dikemukakan di mahkamah sebagai barang kes.

“Kenyataan bersumpah daripada pegawai penyiasat (DSP) Jude Pereira menunjukkan kesemua sampel kini berada dalam bungkusan masing-masing. Oleh itu sebarang gangguan oleh sesiapa terhadap meterai itu sebelum ia dikemukakan di mahkamah akan mengganggu identiti dan rangkaian keterangan berhubung barang kes itu,” katanya.

Selepas keputusan itu, Peguamcara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memfailkan permohonan menangguhkan sementara keputusan hari ini, secepatnya esok.

Antara dokumen yang dibenarkan itu ialah kenyataan saksi yang dirakam dari pengadu Mohd Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari PUSRAWI, pemilik kondominum Hassanuddin Abdul Hamid dan tiga keterangan saksi lain.

Dokumen lain ialah salinan pita rakaman CCTV yang dirakam di pondok pengawal di kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, dan di lif blok 11 kondominium itu dari 25 Jun hingga 27 Jun 2008.

Sekiranya salinan yang jelas tidak dapat disediakan, pembelaan dibenarkan melihat rakaman asal di bawah pengawasan pegawai penyiasat.

Dokumen lain ialah gambar slaid yang dibuat semasa ujian atas sampel spesimen Mohd Saiful dan juga nota ahli-ahli kimia terhadap analisis yang dibuat pada sampel itu.

Hakim Mohamad Zabidin berkata pihak pembelaan boleh memohon untuk meneliti sampel-sampel itu setelah ia dikemukakan di mahkamah sebagai barang kes.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Zabidin berkata mahkamah membenarkan permohonan Anwar itu mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah supaya proses pendakwaan lebih terbuka dan adil.

Beliau berkata tiada peruntukan khas yang mencadangkan bahawa dengan memberi kenyataan saksi itu boleh memprejudiskan kes pendakwaan atau mengganggu kepentingan awam.

“Sebaliknya jika pihak pembela dibekalkan sesalinan kenyataan saksi akan membolehkan mereka mengetahui lebih jelas kes itu. Ini mungkin dapat membantu pembela menyediakan pembelaan yang lebih sempurna dan teratur,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai untuk menyebut semula permohonan Anwar bagi membatalkan pertuduhan liwat terhadapnya dan juga untuk sebutan semula perbicaraan kes liwat itu.

Selepas mahkamah bersidang Anwar yang gembira dengan keputusan itu memberitahu media, beliau perlu menunggu keseluruhan prosiding mahkamah dalam kesnya.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Pada permulaannya, peguam bela Edmund Bon dalam jawapannya berkata mengikut Seksyen baru 51A Kod Prosedur jenaya, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah kepada pihak pendakwaan bagi menyediakan semua dokumen yang diminta oleh pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Bon berkata mengiktu seksyen baru itu, mahkamah sepatutnya memerintahkan pihak pendakwaan untuk menyediakan dokumen atau bahan-bahan yang berkaitan dengan pembuktian yang mana pihak pendakwaan berhasrat untuk mengemukakannya kepada mahkamah bagi membolehkan pihak pembela menyediakan pembelaan.

“Oleh kerana pihak pendakwaan hanya menyediakan beberapa dokuemn, kami di sini meminta bantuan mahkamah berhubung pertikaian ke atas dokumen itu,” katanya.

Sebelum perbicaraan bermula, Hakim Mohd Zabidin membenarkan permohonan peguam bela R.Sivarasa untuk tidak membenarkan pegawai penyiasat DSP Jude Pereira berada di dalam mahkamah kerana beliau merupakan saksi utama dalam kes liwat Anwar yang kedua.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower