.
`
refresh 4 new artikal
.

05 July 2009

3.7juta Rakyat buat tak peduli apa itu 'Pilihanraya'

3.7 juta rakyat tidak mendaftar - SPR

KOTA BHARU 4 Julai - Seramai 3.7 juta daripada 27 juta rakyat di negara ini yang layak mendaftar sebagai pemilih didapati tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ngah Senik.

Katanya, situasi itu membimbangkan kerana masih ramai golongan muda berusia antara 21 dan 39 tahun belum sedar hak mereka sebagai pemilih untuk menentukan masa depan dan kelangsungan proses demokrasi negara.

"Berdasarkan jumlah pemilih yang dikemas kini SPR sehingga 31 Mac tahun ini, hanya 11 juta rakyat yang didapati menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan mendaftarkan diri sebagai pemilih apabila tiba kelayakan umur 21 tahun.

"Seramai 3.7 juta lagi rakyat tidak mendaftarkan diri meskipun sudah tiba kelayakan umur untuk mendaftar.

"Situasi ini membimbangkan kerana jumlah itu agak besar dan boleh memberi kesan kepada kelancaran perjalanan proses demokrasi negara," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada media mengenai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ngah berkata, daripada 12,293 pengundi termasuk 25 pengundi pos di Manik Urai, golongan muda berjumlah 5,598 orang, merangkumi 45.5 peratus.

Golongan pertengahan berusia antara 40 dan 59 tahun berjumlah 4,511 orang (36.7 peratus) dan golongan pengundi berumur 60 hingga 79 tahun, 1,937 orang (15.7 peratus) serta golongan warga emas berusia 80 tahun ke atas berjumlah 247 orang merangkumi 2.01 peratus.

Ngah berkata, 12,197 pengundi berbangsa Melayu merangkumi 99.2 peratus, manakala pengundi Cina (56), India (28) dan kaum-kaum lain 12 orang.

Katanya, pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi ditetapkan di Dewan Petra Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1 di Kuala Krai.

Sembilan pusat pengundian dibuka dengan jumlah saluran mengundi sebanyak 27 buah dan petugas pilihan raya seramai 497 orang.

Ngah juga mengingatkan setiap calon dan penyokong parti yang bertanding agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh SPR bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

Ngah berkata, SPR menggalakkan parti-parti bertanding tidak membawa penyokong terlalu ramai ketika hari penamaan calon berlangsung bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan kesesakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower