.
`
refresh 4 new artikal
.

18 June 2009

Utusan, Kerajaan Perpaduan dan Najib

OLEH Hasmi bin Hashim

Najib Razak terang-terangan cuba menangguk di air keluh di atas isu “kerajaan perpaduan.” Di satu sudut lagi, ada batu api lainnya yang cuba bercakap tentang “perpecahan di kalangan orang Melayu” sekarang ini buruk sekali. Ditambah minyak oleh tafsiran politik cetek segelintir pihak yang tiba-tiba mahu melihat persaudaraan Islam, tanpa sedar realiti politik.

Tapi, semua kekeliruan dan kedangkalan itu tidak lain diputarkan oleh media yang dikuasai Umno-BN, sepertimana diputar-belit kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan agar Chin Peng diberi kebenaran untuk pulang. Hujah Anwar di dalam Kongres Khas itu adalah bersandarkan prinsip kemanusiaan, tanpa melupakan bagaimana gerakkan pengganas komunis telah menyebabkan ribuan nyawa melayang.


Namun, konteks ini telah dicabut oleh Utusan Malaysia, yang tiba-tiba melaporkan serangan balas dengan menemuramah beberapa bekas prajurit–kemudian dijadikan tajuk berita utama dua hari selepas kenyataan Anwar. Utusan langsung tidak merasakan tanggungjawab untuk memberikan latar isu berkenaan secara jelas, sepertimana akhbar itu juga langsung tidak merasa bersalah untuk membuat liputan adil dengan menyiarkan kenyataan balas dari Anwar.

Utusan, seperti yang kita tahu, punya “tugas” dan “tanggungjawab politik” kepada tuan politik mereka, iaitu Umno yang memegang saham terbesar di badan media itu. Kini, Presiden Umno adalah Najib Razak. Oleh itu, mudah untuk dibaca bagaimana isu Kerajaan Perpaduan yang dimainkan habis-habisan oleh Utusan Malaysia bolehlah dianggap sebagai “agenda 1Malaysia” yang dicanang Najib.

Kita bisa sahaja menyaksikan bagaimana berhempas pulasnya Utusan Malaysia, di halaman yang memuatkan hal-hal politik (tidak kiralah sama ada berita atau rencana) cuba mempertahankan kerajaan Umno-BN di Perak selepas membuat rampasan kuasa. Ramai yang percaya, misi rampasan kuasa itu adalah misi Najib sewaktu timbalan perdana menteri–juga sebagai profail beliau untuk ke jawatan perdana menteri seperti yang disandang hari ini.

Saya masih ingat, bagaimana tidak selesanya anggota dan simpatisan Pas, apatah lagi di kalangan orang Keadilan apabila tersebarnya berita Anwar akan kembali menyertai Umno. Berita itu tersebar tidak lama selepas Anwar bebas dari penjara. Berita itu juga sedikit sebanyak telah mengikis keyakinan penyokong Reformasi, sehingga Anwar segera membuat kenyataan terbuka bahawa beliau akan berjuang bersama Keadilan, Pas dan DAP.

Anwar membuat kenyataan itu berkali-kali. Beliau juga menyebutkan bagaimana tidak beliau lupakan jasa teman-teman dan rakyat keseluruhannya yang bersama sewaktu beliau dihumban ke penjara. Anwar membuktikan kata-katanya–meski beliau memang punya “jalan potong” yang dilihat akan memudahkan beliau.

Golongan yang melihat payahnya dan mustahilnya Anwar, Keadilan, Pas dan DAP (sebagai satu ikatan politik) untuk memerintah negara, menang secara demokrasi, akhirnya menyeberang dan menganggotai Umno. Bagi yang bukan Melayu, mereka keluar dan kembali kepada asas politik yang dibentuk penjajah, iaitu parti-parti yang berasaskan perkauman.

Kini, Najib terang-terangan mahu menghidupkan kembali sentimen politik perkauman–meski secara retoriknya, beliau bercakap tentang konsep “1Malaysia” karena sedar bagaimana sokongan bukan Melayu hilang begitu besar kepada BN dalam Pilihanraya Umum yang lalu.

Kerajaan Perpaduan tidak lain tidak bukan adalah idea di mana kuasa politik orang Melayu (sebagai golongan majoriti) hanya dapat dipertahankan apabila orang Melayu bersatu. “Bersatu” ertinya di sini, tentulah dengan tunduk dan memenangkan Umno sebagai tunggak Kerajaan Perpaduan itu.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa dengan kemenangan Umno itu kelak, tak mengapalah asalkan, akhirnya kuasa politik Melayu dapat dikekalkan. Maka, Islam sebagai ugama bagi orang Melayu pun terpelihara.

Mereka tidak lagi mampu melihat, atau barangkali terlupa ingatan Tuhan sendiri, bahawa jatuh-bangun, besar atau binasanya sesuatu kaum itu bukan karena sesuatu kaum itu bersifat assabiyah. Jauh sekali kalau kaum itu zalim, tentu akan binasa dan tak akan mungkin ada satupun parti politik Melayu ketika itu dalam mempertahankan nasib orang Melayu.

Dengan itu, tidak terlalu sukar untuk kita berfikir dan mempercayai bahawa umat Melayu (termasuk kaum-kaum lain di Malaysia) dapat diselamatkan, dijayakan, dipelihara ugamanya, tanpa bekerjasama dengan Umno. Tanpa menyambut tangan Najib yang sudah mempersiapkan segala tipu helah sepertimana yang kita tahu mainan umumnya ahli politik Melayu di dalam Umno.

Biarkan ‘kerjasama’ dengan Umno itu terlalu perlu dan mendesak, ia adalah untuk menghapuskan kezaliman–termasuk kezaliman yang begini bertompok, yang dilakukan sendiri oleh Umno. Seandainya “perpaduan” hanya bererti untuk memperkukuh kezaliman, atau kata manis untuk merebut atau tamak kuasa, kita harus perlu segera ingat, bagaimana kepada anak-anak kecil Muslim pun telah diajar, bahawa “perpecahan di kalangan umat, adalah rahmat.”

Nampaknya makna “perpaduan” perlu juga dilihat dan ditafsir dari perspektif baru–agar kita dapat bebas daripada perangkap assabiyah dan politik perkauman yang dipersipkan oleh penjajah melalui Umno. Makna “perpecahan” juga tidak selamanya negatif, andai golongan yang dianggap terpecah itu, tidak lain tidak bukan sedang gigih berikhtiar untuk menggali sedalamnya keyakinan terhadap kebenaran dan keadilan.

Saya menyusulkan agar, makna “Kerajaan Perpaduan” yang cuba sedaya upaya dijayakan oleh Najib, dengan agenda-agenda mengekalkan kuasa golongan yang lemah dirinya mempertahankan idealisme, prinsip dan jelas nyata tunduk kepada kezalimanan selama ini, wajib ditolak. Terutamanya di kalangan orang Melayu. Karena, sekali lagi, Melayu akan terselamat bukan dengan menyerah tengkok kepada puak yang jelas nyata menipu dan memperbodohkan kita selama ini.

~perakExpress~


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower