.
`
refresh 4 new artikal
.

01 June 2009

Tidak bubar DUN Perak, BN akan kalah PRU 13


Oleh Black

Krisis politik di Perak secara tidak langsung telah memberikan “pakej rangsangan ekonomi” kepada rakyat dinegeri tersebut.

Contohnya apabila Sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu, berbondong-bondonglah para wartawan, penulis blog, penganalisa politik dan pelancong politik dari luar negeri Perak turun ke negeri tersebut.

Apabila Bandar Ipoh dipenuhi dengan orang-orang luar ini, maka rancaklah aktiviti ekonomi. Hotel-hotel dipenuhi, restoran-restoran laku, kedai-kedai mamak mendapat pelanggan luar biasa banyaknya dan lain-lain lagi.

Ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat negeri Perak untuk terus bertahan walaupun aktiviti ekonomi dinegeri tersebut lembab akibat daripada ketidaktentuan politik.


Pendidikan Politik

Menurut Khalid Samad yang merupakan ahli parlimen Shah Alam, pergolakan politik di Perak merupakan satu pendidikan politik yang terbaik kepada rakyat Malaysia.

Menurut adik kepada ahli politik veteran Umno itu, krisis di Perak telah menunjukkan dengan jelas kepada rakyat mengenai kepincangan yang berlaku dalam institusi kehakiman, polis dan penjawat-penjawat awam.

Memang benar apa yang dikatakan oleh ahli parlimen Shah Alam itu. Sebelum ini begitu sukar untuk menerangkan kepada rakyat Malaysia mengenai kepincangan yang berlaku di negara ini.

Dengan berlakunya rampasan kuasa di Perak, rakyat dapat melihat bagaimana institusi kehakiman, polis dan penjawat-penjawat awam diperkudakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk menghalalkan tindakan mereka merampas kuasa.

Hari Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Mohd Nizar Jamaluddin adalah menteri besar Perak yang sah. Menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Abdul Aziz Abdul Rahim, Nizar adalah menteri besar Perak yang sah kerana undi tidak percaya tidak diusulkan terhadap Nizar dalam sidang DUN Perak.

“Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?”

“Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan,” Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulisnya pada 11 Mei lalu.
Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

Kegembiraan Nizar dan Exco Pakatan Rakyat Perak tidak bertahan lama. Keesokkan harinya Zambry Kadir memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Rayuan Zambry itu didengar pada hari yang sama. Boleh dikatakan Mahkamah Rayuan bertindak dengan begitu pantas dan efisyen. Jika kes-kes lain turut diperlakukan sebegini rupa, maka mahkamah di Malaysia akan menjadi mahkamah yang paling efisyen di dunia!

Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytiharkan Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah.

Desakan pembubaran DUN bergema lagi

Desakan dari pelbagai pihak agar DUN Perak dibubarkan untuk menyelesaikan krisis politik dinegeri tersebut bergema lagi.

Menurut pengerusi My Future Foundation yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, krisis politik di Perak hanya dapat diselesaikan dengan mengembalikan kuasa kepada rakyat apabila DUN dibubarkan.

“Jika Perak lumpuh, bukan hanya Perak yang akan lumpuh tetapi seluruh negara akan lumpuh.

Jika Istana Perak membuat keputusan salah (tidak membubarkan DUN), ia bukan sahaja akan menjejaskan Institusi Raja di Perak tetapi keseluruhan Institusi Raja-raja Melayu.

Jika semua kes mahkamah telah diselesaikan sekalipun, ianya tidak akan memuaskan hati rakyat. Jalan yang terbaik ialah krisis politk ini diselesaikan melalui pilihanraya di negeri tersebut”, kata beliau ketika ditemuramah oleh penulis ketika pelancaran Pertandingan Menulis Essei Bertemakan “One Nation, One Malaysia anjuran My Future Foundation pada 13 Mei lalu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut mendesak agar hak rakyat Perak untuk memilih pemimpin mereka dikembalikan.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya. Hak memilih kerajaan adalah hak asasi manusia,” kata Pengerusi Suhakam Abu Talib Osman.

Beliau merujuk artikel 21, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang mengatakan bahawa rakyat haruslah menjadi asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan.

MCA dan Gerakan yang merupakan parti komponen dalam BN tidak ketinggalan dalam mendesak DUN Perak dibubarkan bagi menyelesaikan krisis politik di negeri tersebut.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow.

BN takut kalah di Perak?

Ramai pihak yang beranggapan bahawa BN tidak mahu DUN Perak dibubarkan oleh kerana takut kalah kepada Pakatan Rakyat jika Pilihanraya Negeri diadakan semula dinegeri tersebut.

Bekas perdana menteri, Dr. Mahathir Mohammad turut mengakui bahawa BN akan kalah jika pilihanraya negeri diadakan semula.

Sebab itulah bagi Dr. Mahathir, tidak perlulah BN untuk mencadangkan pembubaran DUN di negeri Perak kerana ianya hanya merugikan BN.

Akan tetapi ada juga pihak yang berpendapat bahawa BN akan rugi lebih besar dalam jangkamasa panjang malahan berkemungkinan kalah teruk dalam PRU 13 jika DUN Perak tidak dibubarkan.

Menurut seorang penganalisis politik, Herizal Hazri, berkemungkinan akan kalah dalam PRU 13 jika DUN Perak tidak dibubarkan.

“ Di dalam pilihanraya-pilihanraya dinegara-negara membangun seperti Malaysia, pengundi-pengundi lebih terpukau dan terpengaruh dengan tindakan-tindakan yang popular berbanding untuk membincangkan dasar-dasar atau manifesto sesebuah parti politik.

Maka sebab itulah rakyat lebih berminat dengan isu-isu moral yang berkaitan dengan seseorang ahli parlimen atau Adun berbanding dengan kerja-kerja yang dilaksanakan.

Jadi, jika BN tidak bersetuju untuk membubarkan DUN Perak, ianya adalah sebuah tindakan yang tidak popular dan ianya akan memberikan persepsi yang buruk kepada BN. Ini akan memungkinkan BN untuk kalah dalam pilihanraya ke 13 akan datang.

Lebih baik hilang Perak daripada hilang kerajaan pusat”, katanya ketika dihubungi.

Isu Perak telah menyebabkan 100 pertama Najib sebagai perdana menteri Malaysia tercalar. Sekarang pilihan berada ditangannya. Mahu hilang Perak atau hilang kerajaan pusat?

___________________________________________________________

Black ataupun nama sebenarnya Amin Iskandar adalah Pengarah Eksekutif bagi sebuah NGO pemantau pilihan raya, National Institute of Electoral Intergrity (NIEI). Selain itu beliau juga turut menjadi kolumnis di akhbar atas talian Malaysiakini.com, penulis bebas bagi beberapa lagi penerbitan - bercetak atau elektronik dan penulis blog. Lagi artikel-artikel menarik boleh layar blognya di http://aminiskandar.wordpress.com


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower