.
`
refresh 4 new artikal
.

23 June 2009

TG Nik Aziz - Tokoh Yang Patut Dicontohi

Kebijaksanaan Tok Guru Nik Aziz terserlah apabila beliau membelasah pemikiran kuno para pemimpin PAS yang bermuka-muka dengan UMNO untuk membentuk kerajaan perpaduan. Ketika Pakatan Rakyat sudah mula kuat dan semakin mendapat sokongan rakyat, tiba-tiba timbul cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan. Alasan yang diberikan terlalu naif dan sengaja dicari-cari untuk maksud yang tidak jelas.

Seperti kata peribahasa: tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas. Rakyat patut berterima kasih kepada Tok Guru Nik Aziz kerana dapat melihat betapa sia-sianya cadangan itu, yang akhirnya akan menguntungkan UMNO/BN kerana kini PAS bersedia mengambil alih masalah UMNO/BN untuk dijadikan projek politik yang merugikan PAS sendiri dan berkemungkinan memecahbelahkan Pakatan Rakyat yang baru mulai kuat


Bagaimana Presiden PAS boleh mengemukakan cadangan itu akan tinggal sebagai misteri politik yang berterusan. Cadangan itu tidak masuk akal dan terlalu naif untuk dilontarkan oleh seorang ketua parti yang terkenal dengan kritikan pedas tajam terhadap UMNO dan para pemimpinnya.

Jika ini satu kesilapan, maka cacatlah kewibawaan seorang pemimpin Islam yang dilihat oleh masyarakat cuba mencari kesempatan bersifat peribadi dengan melemparkan kail tidak berumpan untuk menangkap ikan yang sudah terkulai di dalam air keruh.

Mengapa tidak dibiarkan saja ikan itu mati di dalam lumpur? Itulah yang menjadi misteri, yang hanya dapat difahami jika perbuatan itu dilihat sebagai tindakan naif yang membuang masa dan tenaga. Jika perbuatan itu bertujuan untuk menghidupkan ikan yang hampir mati, maka perbuatan itu tidak mendatangkan faedah sedikit pun. Jadi apakah tujuannya? Mujurlah Tok Guru Nik Aziz segera menegur dengan keras perbuatan sia-sia itu supaya dihentikan serta-merta.

Langkah bijak dan berani Tok Guru Nik Aziz menyelamatkan rakyat daripada terjerumus ke dalam lumpur politik yang akan merugikan banyak pihak itu telah mengangkat beliau ke taraf seorang negarawan yang pintar. Tentu saja UMNO berkata dengan marah Tok Guru itu anti-perpaduan; padahal perpaduan tidak bermakna apa-apa jika hanya untuk meneruskan kezaliman yang telah berlanjutan selama lebih dari 50 tahun. Mengapa tindakan cepat Tok Guru Nik Aziz sangat penting?


Terdapat tiga perkara utama yang perlukan tindakan segera dalam politik Malaysia. Pertama, mewujudkan keadilan dalam pembahagian kekayaan negara kepada semua rakyat, tanpa sekatan polisi yang disalahgunakan seperti Dasar Ekonomi Baru dan lain-lain dasar yang menguntungkan ketua-ketua UMNO dan rakan-rakannya dalam BN. Kedua, mewujudkan Baitulmal Zakat untuk mengurus dengan cekap kutipan zakat. Ketiga, merobah sama sekali dasar pembangunan negara yang diasaskan kepada perbuatan fasad.

Keadilan ekonomi dan sosial akan menjamin pembahagian kekayaan negara kepada yang memerlukan, boleh menghapuskan rasuah dan menyekat para pemimpin daripada salah laku dan salah guna kuasa untuk mendapat faedah peribadi. Pendeknya, tidak ada lagi diskriminasi dalam bentuk apa pun juga, di samping menjamin lahirnya para pemimpin yang amanah. Pada waktu ini para pemimpin sangat galak bercakap tentang amanah, tetapi mereka sendiri tidak amanah.

Jika mereka amanah, kemiskinan tentu sudah dapat dihapuskan dalam masa 50 tahun mereka memerintah. Kerana tidak amanah, kemiskinan dijadikan alat politik sebagai umpan pilihan raya. Sebaik saja diadakan pilihan raya, muncullah orang miskin untuk dibantu, kerana para pemimpin yang tidak amanah itu ingin dilihat sebagai pembela rakyat. Tidakkah itu perbuatan yang sangat jahat, satu penipuan politik yang tidak boleh dimaafkan? Keadilan Islam yang dimaksudkan di sini boleh diwujudkan dengan menghidupkan kembali prinsip taklif dalam kepemimpinan politik, pentadbiran, perundangan dan sebagainya.

Wujudnya taklif boleh dilihat dalam perilaku para pemimpin politik, pentadbiran, perundangan dan sebagainya yang menjadikan kesederhanaan sebagai nilai utama dalam kehidupan dan dalam cara bertindak. Orang yang mengutamakan kesederhanaan tidak tamak harta, tidak tamak kuasa, tidak tamak publisiti, tidak tamak pengikut. Keadilan Islam yang seperti itu telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz, yang harus dijadikan contoh pemimpin politik yang unggul. Dalam konteks Malaysia, Tok Guru Nik Aziz mencerminkan watak Umar Abdul Aziz yang dimaksudkan.

Baitulmal Zakat perlu diwujudkan sekarang untuk membendung penyelewengan ekonomi Islam yang berlaku di Malaysia sekarang. Dalam ekonomi Islam, kini bank Islam dijadikan alat oleh bank riba untuk menarik orang Islam menyimpan di bank-bank riba yang kini berlumba-lumba memperkenalkan yang disebut mereka “produk bank Islam”. Apa yang disebut “produk” itu bertujuan untuk merebut keuntungan berlipat ganda atas nama Islam. Antara nama “produk” yang digunakan ialah “Al-Amin”, mengambil sempena gelaran Nabi SAW.

Tidakkah ini sejenis penyelewengan yang nyata? Tidak saja dalam politik Islam digunakan untuk mendapat undi, di dalam ekonomi juga Islam digunakan untuk mendapat keuntungan besar. Tetapi siapakah yang mendapat faedahnya? Bukan rakyat biasa, bukan golongan miskin. Dalam keadaan inilah maka Baitulmal Zakat diperlukan, supaya orang miskin dan lain-lain yang berhak diberi hak itu melalui wang zakat. Pembahagian zakat yang dilakukan pada waktu ini tidak menepati dengan kehendak dan tujuan zakat itu dijadikan hukum Islam.

Kita tidak boleh membiarkan apa juga jenis penyelewengan dalam pengurusan zakat, maka Baitulmal Zakat diperlukan untuk mengurus wang zakat dengan sempurna. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, Malaysia selalu ditonjolkan sebagai model pembangunan yang selaras dengan nilai-nilai Islam. Adakah membina gelanggang lumba kereta selaras dengan Islam, yang kosnya berbilion ringgit? Adakah pusat-pusat perjudian yang hebat-hebat yang dibangunkan di Malaysia selaras dengan Islam?

Bagaimana kita boleh berkata dengan pasti taman-taman perumahan kita bukan menjadi punca kejatuhan moral dalam negara ini? Bagaimana kita boleh pertahankan kehidupan hedonisme yang mengutamakan hiburan dalam TV dan akhbar menggalakkan maksiat itu selaras dengan Islam? Banyak lagi perkara yang boleh kita tangani dengan berkesan dalam konteks Islam, tetapi tidak kita lakukan kerana kita meletakkan kebebasan hawa nafsu sebagai hak asasi manusia yang tidak boleh diganggu.

Jika kita teliti pembangunan yang kita laksanakan, sikap kita terhadap nilai-nilai Islam yang dikira kuno dan bertentangan dengan kemajuan moden, maka kita sebenarnya membangun negara ini berasaskan prinsip-prinsip fasad, bukan al-falah. Oleh hal yang demikian, kita harus merobah konsep dan pelaksanaan pembangunan kita secara total dengan mengasaskannya kepada konsep ilmu yang benar, yang meletakkan manusia dalam hakikat taklif yang menjadi matlamat manusia sejagat.

Taklif bagi bukan Islam terkandung di dalam ajaran moral yang dikaitkan dengan hakikat ketuhanan semua makhluk yang tidak boleh lari dari tuntutan makruf dan penolakan mungkar. Tidak ada manusia siuman yang menggalakkan yang mungkar dan menentang yang makruf. Itulah hakikat taklif dalam diri semua manusia yang tidak boleh ditolak dengan apa falsafah sekali pun, tetap terhunjam menjadi asas kehidupan bertamadun semua manusia dari dulu hingga kini. Tiga perkara yang dihuraikan dengan ringkas di sini adalah tuntutan politik yang tidak dapat tidak mesti dilaksanakan.

Bukan perpaduan dalam kemungkaran yang kita ingini, bukan itu yang diingini oleh semua manusia. Yang kita impikan ialah perpaduan berasaskan yang makruf, yakni yang berkait rapat dengan hakikat taklif semua manusia. Jika ketiga-tiga perkara yang dihuraikan di sini dilaksanakan dengan amanah, perpaduan akan terjadi dengan sendirinya, tidak perlu lagi segala usaha palsu kononnya untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, padahal yang dilaksanakan ialah perkara-peraka mungkar yang menyusahkan manusia.

Apakah gunanya perpaduan dalam kemungkaran? Dalam konteks inilah Tok Guru Nik Aziz menjadi seorang tokoh yang patut dicontohi. Orang Melayu tidak rugi mempunyai seorang tokoh sehebat Tok Guru Nik Aziz. - [22/6/2009] Mohd. Affandi Hassan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower