.
`
refresh 4 new artikal
.

10 June 2009

Rakyat terus dibingungkan oleh para pemimpin.



Nampaknya isu Kerajaan Perpaduan menjadi hangat kembali sebaik selesai Muktamar PAS ke 55. Sehari dua ini akhbar arus perdana yang dimiliki oleh BN khususnya UMNO begitu sibuk dan riuh-rendah memperkatakannya. Ruang senyum kambingpun mengharapkan ianya menjadi kenyataan.


Sebagai ahli PAS peringkat bawahan (grass root) saya risau dengan pelbagai ulasan yang dipaparkan di media-media yang dinyatakan tadi. Nampaknya UMNO sedang mempergunakan seluruh kekuatan media yang mereka kuasai untuk menguasai pemikiran rakyat umum khususnya di luar bandar bagi membentuk satu "public opinion" yang menguntungkan UMNO/BN mengenai isu Kerajaan Perpaduan ini.

Jika pihak UMNO/BN berjaya dengan usaha mereka ini, tidakkah PAS menambah lagi satu kesusahan dalam usaha PAS untuk menguasai politik negara. Jika para pemimpin PAS tidak berhati-hati dan bermain-main dengan politik oportunis dan politik rakus UMNO ini, PAS sebenarnya sedang dipimpin ke arah memasuki perangkap UMNO/BN.

Pada masa ini UMNO sedang memaparkan Kerajaan Perpaduan seperti yang mereka mahu dan fikirkan bukan seperti yang dimaksudkan oleh Presiden PAS. Kita bimbang dengan menggunakan pengaruh media mereka yang masih kuat dan menguasai, pandangan dan isi perut UMNO ini akan termakan oleh minda rakyat untuk akhirnya menyalahkan PAS jika penubuhan apa yang dikatakan Kerajaan Perpaduan ini gagal. Apabila rakyat menyalahkan PAS maka PAS akan berada di dalam keadaan yang sukar, hanya berjuang sepanjang masa tanpa mencapai kemenangan politik walaupun PAS sebuah parti politik.

Sudah sampai masanya pemimpin tertinggi parti menggariskan dengan teliti kepada umum apakah bentuk (format) Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan. Jelaskan dengan terang kepada umum, mengenai perkara-perkara berikut:

1. Apakah Perdana Menteri Malaysia dari PAS atau hanya Timbalan Perdana Menteri?
2. Apakah kerusi PAS dan UMNO sama banyak atau PAS lebih banyak?
3. Apakah menteri-menteri kanan kerajaan Persekutuan akan diserah kepada PAS ?
4. Apakah boleh para pendakwah PAS berkhutbah dan mengajar di masjid-masjid ?
5. Apakah kes Altanthuya akan dibicarakan semula atau akan tutup kes ?
6. Apakah Dr Zambry Kadir akan terus menjadi Menteri Besar Perak?
7. Apakah UMNO perlu tinggalkan Barisan Nasional ?
8. Dimanakah kedudukan Datuk Seri Najib dalam Kerajaan Perpaduan?
9. Dimanakah kedudukan Anwar Ibrahim (PKR) dan Lim Kit Siang (DAP) ?
10.Apakah Ali Rustam perlu meletak jawatan Ketua Menteri Melaka atau boleh teruskan?

Dan banyak lagi apakah...apakah yang perlu dijelaskan. Jika tidak UMNO akan terus memberitahu bahawa PAS perlu tinggalkan Pakatan Rakyat dan masuk Barisan Nasional. Jika PAS tidak mahu berbuat demikian kerana perjuangan Islamnya, sudah pasti UMNO akan berkata PAS hipokrit dan tak jujur ! Hal ini akan ditanam dalam minda rakyat untuk bosan dengan apa yang dikatakan sebagai sikap PAS.

Pemimpin PAS perlu renung kembali apakah yang telah dilakukan oleh UMNO melalui Ibrahim Ali sewaktu menjatuhkan Kerajaan Kelantan di zaman Hussein Onn dahulu.

Dan ingat balik putar belit Najib dalam mempertahankan kerajaan haram Perak. Najib sering mengulang-ulang peristiwa usaha Anwar Ibrahim mahu menukar kerajaan pada Sepetember tahun lalu dengan berkata "siapa mula dahulu". Sedangkan semua tahu Anwar melakukannya dengan "perbincangan dan meyakinkan pendapatnya" mengikut prosedur undang-undang kepada Wakil-wakit Rakyat BN bukan secara culik dan ugut ! Kerana usaha Anwar melalui "perbincangan dan memberi keyakinan itu", umum mengetahui akhirnya beliau gagal. Habis setakat itu dan di situ usaha Anwar.

Jika Kerajaan Perpaduan mahu ditubuhkan persoalan-persoalan di atas sudah pasti menjadi isu perbincangan yang perlu diselesaikan kerana PAS sudah pasti tidak mahu Najib yang disebut dalam kes Altanthuya menjadi Perdana Menteri. Dan apakah Najib akan semudah itu meletak jawatan untuk diganti dengan Mahyuddin Yasin atau Tuan Guru Haji Hadi sebagai Perdana menteri ?

Sudah beberapa kali UMNO mempermain-mainkan PAS, dan apakah mungkin dengan orang-orang jenis yang memimpin UMNO pada hari ini, akan menerima PAS sebagai rakan yang dominan untuk bersama atau memimpin mereka semudah itu ? Dan hari ini UMNO terus menyebut Kerajaan Perpaduan kepada rakyat mengikut versi mereka sedangkan versi PAS, pihak yang melontar idea ini masih kabur dan jauh dari pemahaman rakyat ! Nampaknya rakyat terus dibingungkan.


sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower