.
`
refresh 4 new artikal
.

04 June 2009

PAS UMNO : MUKTAMAR PAS: YANG NAMPAK DAN TIDAK NAMPAK

Latar belakang ringkas

Jika kita ingat, pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada tahun 1999, muktamar PAS adalah medan mula yang mendorong kepada perpecahan dalam Barisan Alternatif (BA) apabila suara muslimat mempertikaikan agenda Hudud yang ‘tercicir’ untuk dijuarai oleh Parti Islam se-Malaysia (PAS) itu. Hasilnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) memutuskan untuk keluar daripada Barisan Alternatif (BA) pada waktu itu yang menghubungkan PKR-PAS-DAP.

Dan PAS kini sedang melalui muktamarnya untuk sekian kali, pertama pasca PRU ke-12 pada tahun 2008 dan pemerhati serta penggiat politik umumnya melihat muktamar kali ini sangat berbeza berbanding muktamar sebelum-sebelumnya dek kerana ‘rempuhan’ PKR-PAS-DAP terhadap hegemoni UMNO-BN selama ini. Dari ‘rempuhan’ ini, hubungan lama bertaut kembali dan PKR-PAS-DAP menjadikan Pakatan Rakyat (PR) sebagai platform baru kerjasama yang pernah terputus dulu. Apa yang membezakan ialah dulunya ia dipimpin oleh Ustaz Fadzil Noor dan kini Dato’ Seri Anwar. Tentu sekali ramai berharap kombinasi Ustaz Fadzil dan Dato’ Seri Anwar yang akan memandu hala tuju kerjasama ini dengan lebih jelas. Namun Allah s.w.t. telah memanggil Ustaz Fadzil menghadap-Nya terlebih dulu. Al-Fatihah.

PAS untuk semua pasca PRU-12

Sebelum PRU ke-12, PAS mengguna pakai slogan PAS untuk semua, dan momentum reformasi telah memperlihatkan beraninya rakan-rakan dari kaum India dan Cina bersama-sama mengibarkan bendera PAS, memakai baju PAS, ikut sama bertakbir dan berkempen serta lain-lain tindakan yang hampir sukar dibayangkan. Ia sebuah tanda positif untuk kemajuan PAS.

Namun sayang, tanda-tanda ini tergugat dengan perkembangan yang berlaku dan ternampak PAS seolah-olah tidak serius mendalami agenda mereka, sama seperti UMNO, bersandarkan slogan tetapi gabra dek ujian.

Muktamar PAS kali ini dilihat luar biasa kerana beberapa sebab terutamanya perkembangan politik Malaysia pasca PRU ke-12. Umum maklum, kekalahan UMNO-BN menjadikan isu Ketuanan Melayu, keselamatan Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai simbol Ketuanan Melayu dan keselamatan Islam telah dipalu sekuat-kuatnya. PAS, sebagai parti yang memakai kata nama Islam sebagai produk kempen mereka nampak terhimpit. Apatah lagi dalam konteks Malaysia, majoriti pengundi Islam itu adalah pengundi Melayu. Kemahuan menjaga hati majoriti pengundi mereka inilah yang menjadikan mereka terhimpit, barangkali.

Maka dari situ tiba-tiba muncul berita beberapa pemimpin PAS membuat pertemuan sulit dengan beberapa pemimpin UMNO untuk berunding tentang KUASA, dengan anggapan bahawa isu-isu di atas: Ketuanan Melayu, keselamatan Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu dapat dipelihara. Mereka fikir, dengan KUASA yang dirundingi ini, mereka akan bekerjasama untuk mempertahankan isu-isu berbangkit ini.

Tuhan Maha Kuasa, isu rundingan belakang tabir ini terbongkar. Dari desas-desus gossip politik, ia akhirnya menjadi kenyataan dari mulut Perdana Menteri waktu itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri.

Dari situ kita melihat adanya usaha “control damage” dibuat. Bagaimana?

1. Mewar-warkan bahawa Majlis Syura telah dimaklumkan. Maka, dengan itu diharapkan tidak timbul pertikaian.

Tindakan menjustifikasikan rundingan sulit ini dengan memindahkan beban untuk menjawab kepada sebuah badan lain yang lebih besar dalam struktur PAS ini pada saya amat memalukan. Sebuah badan yang lebih besar, malah sangat penting dalam organisasi PAS terpaksa menghalalkan rundingan sulit yang membelakangkan mereka beberapa kali.

Jika kita faham politik organisasi, memang ada kewajaran Majlis Syura mengizinkan, kerana ia TELAH BERLAKU dan mereka tidak ada pilihan. Sekiranya mereka menjawab “kami tidak izinkan”, ia akan memberi kesan lebih buruk kepada PAS kerana yang terlibat dalam rundingan ini adalah orang nombor 2 parti! Akan terlihat bahawa INDIVIDU MELEBIHI STRUKTUR PARTI! Justeru, dengan ‘memberi izin’, maka isu individu melebihi struktur parti akan dapat diredakan melalui alasan bahawa ‘pandangan yang ada selari’. Ini adalah satu bentuk falasi yang terpakai kepada mereka yang tidak mahu merenung semula kaedah berfikir mereka.

Tapi ternyata tidak kepada semua. Kenyataan demi kenyataan oleh Tuan Guru Nik Aziz selaku Mursyidul Am yang mempengerusikan Majlis Syura PAS adalah sebaliknya. Sebagai orang lama dalam PAS, ternyata meskipun Majlis Syura telah memberi ‘green light’ tentang rundingan itu, ia tidak memadamkan isu adanya pemimpin yang memandai mewakili PAS untuk sebuah rundingan sulit yang memaksa PAS menjustifikasikannya kemudian, hatta melalui Presiden, Pengerusi Dewan Ulama’ dan PAS sebagai parti!

2. Mewujudkan Kem dan Slogan serta menukar bentuk kempen

Kini telah tersohor wujudnya 2 kem besar dalam PAS: satu mewakili apa yang dipanggil Erdogan (merujuk kepada nama pemimpin Turki yang juga berasal dari gerakan Islam) dan satu lagi dinamakan Ulama’.

Penamaan ini jelas satu agenda tersusun. Ia cuba memberi gambaran kepada umum bahawa ini adalah pertentangan modernis dan konservatif. Tetapi perbandingan Erdogan dan Ulama’ adalah perbandingan senget. Ia sepatutnya menjadi Erdogan dan Erbakan (satu lagi pemimpin dari parti Islam yang sama dengan Erdogan sebelum mereka berpecah untuk menggerakkan kekuatan masing-masing).

Kenapa? Kerana kata Ulama’ itu mempunyai sentimen khusus kepada umat Islam, apatah lagi pendokong PAS umumnya. Mereka ‘buat-buat pejam mata’ bahawa Tuan Guru Nik Aziz itu juga diiktiraf sebagai seorang ulama’ yang dikasihi pendokong PAS. Mereka membayangkan Tuan Guru Nik Aziz seolah-olah sedang dikepung, ditipu dan mudah diperolok oleh kumpulan yang mereka namakan Erdogan.

Sebahagian anak muda yang terlibat di lapangan professional tertawa. Tayangan filem Angel and Demon, sekuel filem Da Vinci Code seolah-olah sedang memerli PAS. Ia kisah tentang pertarungan saintis dan gereja yang dikembangkan plotnya. Memang tidak sama gereja dan masjid. Tapi cara berfikir dan bertindak manusia itu nyata ada patennya.

Kini kelompok yang mahu dilihat sebagai mewakili kem Ulama’ mengguna semahu-mahunya slogan ‘kepimpinan Ulama’’ dan anak muda professional melihat betapa ianya dieksklusifkan dan bertujuan politik. Dan plot terakhir juga membayangkan mereka mahu menonjolkan diri bahawa mereka juga setia kepada pengukuhan PR. Lebih jauh lagi, mereka memberi label ‘musuh dalam selimut’, ‘anasir memecah belah’ dan sebagainya kepada lawan politik mereka (sesama parti!).

PAS for who?

Inilah tanda tanya besar di kalangan orang ramai. PAS untuk siapa sebenarnya? Ia mirip tindakan Sokrates yang menyempitkan kebebasan sebagai rule of knowledge. Sama seperti PAS menjadi kepimpinan sebagai rule of knowledge.

Apa yang ada di khalayak arus reformasi – baik parti-parti dalam PR, masyarakat sivil dan individu-individu biasa – ialah isu sebenar di sebalik semua ini hanyalah pertarungan 2 kelompok: yang mahu berbaik dengan UMNO dan yang mahu PAS menggantikan UMNO sebagai wadah politik baru.

Rasanya 50 tahun sudah cukup untuk kita lihat paten kempen UMNO bahawa ketika mereka lemah dan kalah, mereka akan memainkan isu sentimen. Mereka bicara soal hak, sedangkan rakyat mempertikaikan soal peranan. Rakyat percaya masih ramai Melayu yang amanah dan bijaksana untuk menjalankan tanggungjawab. PAS harus melihat mereka dalam lingkungan Melayu ini, dan bukan Melayu yang tunduk kepada persoalan hak berbanding peranan.

Ramai mungkin terlupa bahawa UMNO bertahan pada PRU ke-10 1999 melalui undi masyarakat bukan Melayu. Ramai yang mungkin pejam mata bahawa hakikat PRU ke-12 2008 memperlihatkan bilangan kerusi Ahli Parlimen Melayu-Islam bertambah di Parlimen.

Saya tidak tahu sama ada PAS dan UMNO mempunyai fikiran ala komunis: mahu keseragaman fikiran itu terbentuk dan siapa yang berbeza akan dianggap musuh. Untuk saya, PAS hanyalah sebuah parti politik lain yang sedang meminjam kata nama Islam sebagai produk perjuangan. Saya seorang Melayu dan Islam, tetapi tidak berparti. Maka saya skeptikal dan kritis untuk sebuah kata nama yang saya juga ambil sebagai individu, tetapi bukan untuk menjustifikasikan tindakan untuk berkuasa. -Amin Ahmad (Perakexpress)
.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower