Kerana Kerajaan Peraduan Dgn UMNO, Pakatan Rakyat Berantakan
Para pemimpin di Malaysia ingin dianggap sebagai golongan yang berhemah tinggi dan boleh menangani isu perbezaan pendapat ini dengan bijaksana tanpa mendiskriminasi mana-mana pihak atau melewati batas undang-undang dan perlembagaan yang sedia ada.
Usul tanpa bahas dalam Muktamar PAS ke-55 untuk mengharamkan Sisters-in-Islam tanpa terlebih dahulu wujud sebarang penyelidikan dan bukti yang jelas adalah diangap keterlaluan. Mana-mana pihak yang mendesak pihak berkuasa untuk mengharamkan sesuatu entiti tanpa bukti yang sah adalah suatu prosedur yang zalim lagi menzalimi yang tertuduh. Ada banyak lagi entiti lain yang jelas halatujunya yang sudah sampai ke tahap sesat lagi menyesatkan yang wajar didesak untuk diharamkan serta-merta.
Sasaran terpilih, Sisters-in-Islam, dalam bentuk Usul Tanpa Bahas tersebut telah mewujudkan kegusaran oleh sebahagian masyarakat tentang ketiadaan konsistensi (consistency) dan keluhuran dalam laungan PAS for all. PAS yang dibarisi oleh kepimpinan yang baru dilantik, yang diketuai oleh Abd Hadi Awang kini dilihat sebagai sebuah parti yang hanya berslogan dan menjadi sebuah parti politik biasa sekular, bukan parti politik yang menghalusi keadilan seperti yang tuntut oleh ayat di bawah:
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibubapa dan kaum kerabatmu. Jika dia (yang terdakwa) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatan (kebaikannya). Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka ketahuilah Allah Maha Teliti terhadap segala apa yang kamu kerjakan.” An-Nissa’:135
Usul Tanpa Bahas yang bersumber dari Kawasan PAS Shah Alam yang diketuai oleh Khalid Samad, seorang yang dianggap sebagai sentiasa mempunyai pandangan yang berprinsip, kini telah mengelirukan beberapa sektor dalam masyarakat dengan kelulusan Tanpa Bahas Usul mengharamkan Sisters-in-Islam yang membawa implikasi yang lebih besar terhadap keupayaan PAS bersikap adil pada setiap masa, ketika, tempat dan dengan sesiapa saja, tidak kira Islam ataupun tidak.
PAS Abd Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa dituntut agar memberi ruang dan peluang kepada dirinya dan juga Sisters-in-Islam dalam menyuburkan suatu pendekatan wasatan (pertengahan) bagi memperbetulkan keadaan dan menghapuskan sebarang prasangkaan buruk yang berpanjangan mengenai kelekehan PAS dalam menegakkan keadilan dan memelihara hak setiap rakyat dan golongan dengan saksama.
Bagaimana rakyat akan berasa selamat dan aman dengan tindakan dan kenyataan lisan yang sungguh mengelirukan dan sama sekali tidak dapat difahami? Dalam sekelip mata juga, PAS Abd Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa telah menimbulkan berbagai tanda tanya di kalangan masyarakat sehingga boleh menjejaskan ikatan Pakatan Rakyat dan peluang mengambilalih Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya ke-13 nanti.
Pertembungan di kalangan dua golongan dalam PAS mengenai isu Kerajaan Perpaduan telah menimbulkan syak wasangka di kalangan berbagai pihak, yang saban hari semakin mendalam, kerana sudah tiada tabir yang boleh menyelindunginya lagi. PAS Abd Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa berhasrat untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan bersama Umno dengan segala apa yang akan didapatinya hasil dari perkahwinan tersebut.
Jika mereka menyatakan bahawa orang lain tidak faham maksud mereka tentang Kerajaan Perpaduan itu maka yang patut dipersalahkan ialah mereka sendiri.
Amatlah menghairankan sebagai sebuah parti politik Islam yang sudah lama wujud dan telah menemui kegagalan dalam penggabungan dengan Umno pada tahun 1969 dahulu, jalan yang sama ingin dilalui pada kali yang kedua; seolah-olah tiada pengajaran yang didapati dari kegagalan itu.
Kerajaan Perpaduan sebagai yang difahami oleh umum dan masyarakat antarabangsa ialah sebuah kerajaan gabungan beberapa parti yang berkongsi kuasa – ia membawa maksud bahawa ahli-ahli politik dari gabungan parti yang terlibat akan ditawarkan untuk menjadi Menteri-Menteri Kabinet dan jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran negara.
Kebanyakan rakyat sedang mengalami kekeliruan hasil dari pendekatan dan kesungguhan PAS Abd Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa untuk meneruskan agenda Kerajaan Perpaduan. Amatlah tidak wajar lidah para ilmuan Islam mengelirukan pengikut dan rakyat jelata, sama ada sengaja ataupun tidak. Para ilmuan Islam sewajarnya lebih berhati-hati dan teliti dalam memberi halatuju dan agenda yang ingin dilaksanakan.
Timbul persoalan bahawa dalam politik tidak semua perkara mesti diperjelaskan. Bagaimana untuk diperiksa bahawa keputusan-keputusan yang dibuat tanpa penjelasan itu merupakan sesuatu yang terbaik untuk pengikut dan rakyat? Apakah apabila sudah berlaku kebinasaan baru terngadah? Apakah wajar membiarkan hanya mereka dalam pimpinan No.1 & No.2 diberi seluruh mandat untuk membuat keputusan tanpa penjelasan?
Apakah halatuju politik yang akan dibawa oleh PAS Abd Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa? Apakah kedudukan PAS Abd Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa dalam Pakatan Rakyat? Apakah maksud usul mendaftar Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti, tetapi segala persoalan tentang PAS Abd Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa terus mengelirukan pengikut dan rakyat serta aktivis Pakatan Rakyat?
Adakah Kerajaan Selangor dan Perak akan diambilalih oleh Kerajaan Perpaduan ini? Kegilaan ramalan-ramalan tentang perkara mendatang hanya baru bermula. Itulah permulaan kepimpinan PAS Abd Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa dalam era Kerajaan Perpaduan, suatu impian yang belum difahami, belum dapat di bayangi oleh sesiapapun kecuali oleh kedua mereka.
Yang jelas, halatuju yang ingin dibawa oleh PAS Abd Hadi Awang dan Nasharudin Mat Isa sedang menghasilkan berantakan dalam PAS dan kebuntuan dalam Pakatan Rakyat.
Yang lebih mencemaskan ialah krisis dalam Pakatan Rakyat sedang menjelma…
-Mariam Abdullah, perakexpress
No comments:
Post a Comment