.
`
refresh 4 new artikal
.

12 May 2009

APA NASIB TIGA PENCACAI MALANG SELEPAS INI?



Sesungguhnya YAB Ir Nizar MB Perak seharusnya bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang telah memutuskan bahawa beliau adalah MB Perak yang sah. Keputusan tersebut sudah pasti menyemerakkan lagi sokongan rakyat terhadap beliau khususnya dan PR, amnya. Sekaligus, keputusan tersebut menggambarkan betapa tidak selama-lamanya mereka boleh memperkudakan sesiapa yang mereka suka untuk berkuasa. Hasil keputusan yang diumumkan tersebut sebenarnya tidak sedikit pun menguntungkan Nizar secara peribadi bahkan tidak juga dikatakan menguntungkan PR.

Siapa yang beruntung hasil daripada keadilan mahkamah tersebut? Sudah tentu rakyat Perak yang selama ini derita jiwa dan raganya di bawah pemerintahan yang mereka tidak pilih. Pujian harus diberikan kepada Nizar kerana sebaik sahaja beliau dikembalikan kuasa yang telah dirampas, beliau sertamerta mengumumkan untuk mengembalikan hak memilih pemimpin negeri Perak kepada rakyat Perak. Itulah jiwa seorang pejuang rakyat yang mendahulukan rakyat dari dirinya sendiri. Bukannya seperti omongan kosong bercakap tentang `rakyat diutamakan' dan berbagai bentuk kosmetik ucapan lagi oleh pemimpin Umno/Bn. Setelah Allah memberikan nikmat kemenangan ini, maka terpulanglah kepada rakyat Perak untuk memilih haluan dan pilihan masing-masing selepas ini. Tugas Nizar serta rakan-rakan di dalam PR hampir ke penyudahnya dan rakyat Perak hanya perlu mengesahkan semula pilihan mereka.

Kita tidak hairan apabila Najib berkata Umno/Bn akan berusaha untuk merayu keputusan tersebut kerana kita sememangnya tahu ketika ini Umno/Bn begitu fobia dengan pilihanraya. Apakah `bala' yang akan menanti di Dun Penanti belum diketahui, mana mungkin Umno/Bn berani untuk berdepan dengan satu lagi pilihanraya yang lebih besar. Kita tetap berharap walau apa jua yang berlaku selepas ini, rakyat Perak mesti bangun untuk menuntut hak mereka iaitu dengan memilih pemimpin mereka di dalam pilihanraya. Meskipun di war-warkan bahawa akan ada Persidangan Dun Perak yang bakal mengusulkan undi tidak percaya kepada YAB Nizar, tetapi semuanya itu taktik yang sudah basi dan mudah untuk dapat dibaca oleh rakyat Perak. Apa pun tindakan Umno/Bn selepas ini tidak akan menyekat rakyat Perak untuk berhadapan sekali lagi di dalam pilihanraya negeri. Tiada ubat lain yang lebih mujarab bagi memulihkan `penyakit kudis buta' demokrasi di Perak sekarang melainkan kembali kepada rakyat sebagai `bomoh'nya.

Walaupun Nizar menang di dalam kes di mahkamah ini, beliau memahami bahawa mahkamah bukanlah penentu sokongan rakyat di dalam memilih pemimpin mereka. Sehubungan itu, wajarlah Dun Perak dibubarkan walaupun mungkin menyebabkan ada di kalangan pemimpin Umno yang menggeletar kedua-dua lututnya. Sekali lagi duit rakyat bakal akan digunakan memulihkan demokrasi di Perak yang kebelakangan ini dikoyak rabakkan oleh mereka yang rakus kuasa itu. Kepada ketiga-tiga Adun Bebas yang melompat parti itu, mereka wajiblah bertanding sekali lagi kerana rakyat rindukan bahan kempen mereka. Tetapi atas nama parti apa pula mereka akan bertanding selepas ini? Atau sanggupkah Umno/Bn beri laluan kepada ketiga-tiga mereka? Senang cerita, eloklah mereka umumkan kemasukan mereka sebagai ahli Umno/Bn seberapa segera sebelum terlewat. Jika tidak, kita bimbang mereka umpama `pencacai malang' yang menjadi seperti pepatah `yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran'.


WFAUZDIN NS

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower