.
`
refresh 4 new artikal
.

30 April 2009

KABEL ELEKTRIK DASAR LAUT: KeADILan terkejut dengan keputusan kerajaan


KUALA LUMPUR, 30 APRIL (SK) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) terperanjat dengan keputusan kerajaan baru-baru ini yang meluluskan untuk membina kabel kuasa elektrik menghubungi Sarawak dengan Semenanjung bagi bekalan elektrik dari Empangan Bakun di Sarawak.

Menurut Timbalan Presiden KeADILan Syed Husin Ali, kerajaan harus mendedahkan angka-angka yang dikatakan lebih murah daripada kebolehan kapasiti yang diperlukan di semenanjung Malaysia.

“Kerajaan mendakwa harga kabel dan penyaluran elektrik ini lebih murah daripada menjana kebolehan (kapasiti) yang perlu di Semenanjung. Kami menggesa Kerajaan supaya mengeluarkan angka-angkanya untuk diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan kepada Suara Keadilan.

Perdana Menteri Najib Razak dalam kenyataan beliau di Indonesia 23 April lalu berkata pengunaan tenaga hidro juga lebih murah dan sangat penting bagi negara ini.

Jelas Syed Husin, kerajaan juga perlu menunjukan Penilaian Impak Alam Sekitar atau EIA dan rancangan pengurusan risiko yang menjadi asas bagi membuat keputusan ini.

“Kami ingin bertanya: adakah Kerajaan bersedia Semenanjung terdedah kepada kemungkinan malapetaka kegagalan? Misalnya, apa akan jadi kepada kabel yang dicadangkan itu seandainya berlaku malapetaka seperti yang menimpa hubungan internet akibat gempa bumi berdekatan Taiwan pada bulan Disember 2006?”

“Dengan internet boleh dilakukan “rerouting” (pelencongan) – bahkan inipun mengganggu internet selama beberapa minggu. Tetapi ini tidak boleh dilakukan kepada elektrik, ataupun boleh dilakuan hanya dengan harga yang mahal. Buktikan kepada kami penilaian risiko yang telah dibuat,” katanya lagi.

Menurut Syed Husin lagi,seperti yang diketahui terutama rakyat Sarawak yang menetap di kawasan pedalaman, mereka tidak mendapat bekalan elektrik yang cukup.

“Mengapakah mereka tidak diberi keutamaan supaya medapat bekalan elektrik yang termampu?. Menteri yang bertanggungjawab tentu menyedari tentang sentimen yang meluas bahawa Persekutuanlah yang mendapat manfaat lebih daripada sumber-sumber hasil Sarawak,” jelasnya lagi

Syed Husin menambah “Kami yakin rakyat di Persekutuan pun mahu rakyat Sarawak mendapat manfaat utama dari Bakun. Kami tidak ingin melihat keadaan berterusan manakala orang kampung terpaksa membayar sampai RM60 sebulan bagi bekalan elektrik kira-kira 4 jam sehari saja.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower