.
`
refresh 4 new artikal
.

29 April 2009

Apakah kriteria KDN memilih pembinaan balai polis baru

17 Mac 2009 - Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 Kepala Pembangunan P.62 di bawah Kementerian Dalam Negeri

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya merujuk terus kepada Maksud Perbekalan 62, Kementerian Dalam Negeri Butiran 12000 - Projek Balai-balai dan Pondok polis. Yang Berhormat Timbalan Menteri ada bersama. Tambahan ini sebanyak RM81 juta lebih diperuntukkan untuk membiayai projek membina balai dan pondok polis di pelbagai negeri.

Tadi Yang Berhormat daripada PAS telah menyebut kalau boleh diberikan perincian negeri-negeri yang terpilih. Saya mahu tahu bagaimanakah kementerian memilih, negeri mana yang mahu ditambah jumlah balai dan pondok dan apakah kriteria yang digunakan?

Adakah kriteria pertambahan statistik jenayah menjadi satu penentuan kerana secara khusus di dalam daerah Brickfields saya agak bimbang kerana dalam artikel bertajuk “Polis nafi kadar jenayah di Brickfields meningkat” oleh BERNAMA, 23 Jun 2008.

Dilaporkan bahawa Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt. Azri Abdul Rahman, di bawah kawasan saya, dia cover Bangsar, berkata bahawa Polis Daerah Brickfields kerjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 7% bagi tempoh Januari hingga Mei 2008 berbanding dengan lima bulan tahun sebelumnya hasil kejayaan pemantauan efektif polis.

Akan tetapi dua hari kemudiannya iaitu pada 25 Jun 2008 Utusan Malaysia di bawah artikel bertajuk “Lokasi Mesin ATM - Bank Perlu Pandangan Polis” pula melaporkan bahawa Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Samah Mat, dia melawat IPD Brickfields, memuji IPD Brickfields kerana berjaya menurunkan kadar jenayah sebanyak 19.4% dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2008 berbanding dengan 2007 masa yang sama.

Justeru, kedua-dua laporan akhbar mengenai kadar jenayah di Brickfields menunjukkan perbezaan yang ketara. Timbalan Ketua Polis Brickfields berkata kurang 7% berbanding 19.4% yang dikatakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Saya mahu tahu apakah impak kepada daerah Brickfields, adakah mereka tidak akan diberikan peruntukan dan kalau pun ada pengurangan kenapakah wujud kekeliruan di antara angka dan statistik yang sebenar.

Isu kedua tentang saya telah sebut berkali-kali Malaysia mahu mencapai nisbah antarabangsa Interpol seorang pegawai polis bagi setiap 250 penduduk. Jadi, saya mahu bertanya tentang masalah bila kawasan kediaman baru ditubuhkan, bila ia tidak mengambil pandangan padahal pertambahan penduduk bertambah dengan kewujudan kawasan baru untuk penduduk-penduduk tetapi tidak diwajibkan keperluan sebuah balai polis.

Adakah ini dipantau oleh pihak kementerian untuk memastikan nisbah penduduk itu tidak bertambah secara mendadak dengan balai-balai polis.

Ketiga, bagaimanakah pihak kementerian boleh memantau dengan pertambahan balai-balai polis, pondok-pondok polis ini, adakah mereka efektif menjalankan tugas dengan baik atau tidak kerana saya mendapat rungutan penduduk setempat contohnya di Pondok Polis Bangsar yang dikatakan tidak berfungsi secara optimum di mana perompak berani merompak di tengah-tengah siang hari di hadapan, berdekatan dengan pondok polis seolah-olah tidak takut.

Jadi, mungkin fungsi ataupun dengan izin, deterrent balai polis ini perlu diteliti semula dan saya mohon penjelasan daripada pihak kementerian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower