.
`
refresh 4 new artikal
.

14 May 2009

Nik Aziz tolak kerajaan perpaduan bersama Umno





Muhammad Yusri Amin & Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 13 Mei (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sama sekali tidak bersetuju cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno.

Beliau berkata, PAS sudah hilang keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana penipuan yang dilakukan semasa PAS berada dalam kerajaan Perikatan pada 1974.

"Kerajaan perpaduan di antara PAS dan BN tidak mungkin berlaku walau pun ada dakwaan kononnya saya akan bersetuju sekiranya PAS ditawarkan jawatan penting termasuk Menteri Pelajaran atau Menteri Kewangan.

"Saya sudah tidak percaya kepada keikhlasan mereka yang pernah menipu PAS. Mereka pernah menendang PAS keluar daripada kerajaan Perikatan pada 1978.

"Oleh itu sekiranya berlaku lagi kerajaan perpaduan di antara PAS dan Umno, apa jaminan Umno tidak akan menendang kami keluar lagi," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan Sejagat 13 Mei 2009 di Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau sekali lagi mengulangi analoginya diibarat PAS menolak kereta lama Umno-BN, setelah enjin kereta itu hidup, kereta itu berjalan meninggalkan PAS di belakang yang sudah terpalit asap dan lumpur.

Mengenai Deklarasi Perpaduan Nasional yang baru dicetusnya, beliau berkata PAS ada penawarnya bagi menjalin hubungan dengan Umno dengan syarat dasar parti itu ditukar daripada kebangsaan kepada Islam.

"Sekiranya Umno menukar dasarnya dengan persetujuan daripada cawangan dan negeri-negeri kepada Islam maka PAS akan menyokong.

"Tidak ada sebab kita hendak melawan dasar dan perjuangan Islam. Kami melawan sekarang kerana Umno membawa jalan sesat," katanya.

Beliau juga berkata, Umnolah punca kekalutan dalam politik di negara ini kerana mereka hanya mementingkan bangsa, sedangkan Islam milik sejagat.

Menyentuh suasana politik di Perak yang semakin kalut katanya, biarlah rakyat yang menjadi hakim bagi memilih seseorang Menteri Besar.

Namun katanya kini sudah terbalik pula apabila mahkamah yang menjadi hakim memilih ketua kerajaan.

"Saya hairan di Malaysia nampaknya ada pihak-pihak tertentu yang menjadi dalang kepada wujudnya suasana kalut ini," ujar beliau.

Ditanya mengenai konsep '1 Malaysian' yang diuar-uarkan Perdana Menteri sekarang katanya, BN hanya mencedok apa yang telah dilaksanakan PAS.

Menurutnya PAS membawa dasar perjuangan Islam sehingga masyarakat Cina dan India sudah menerima konsep tersebut seperti yang berlaku di Kelantan sekarang.

"Di Kelantan, kita ada wakil masyarakat bukan Melayu dalam kerajaan bagi menghubungkan mereka dengan bukan kaum Islam," ujarnya.

Sementara itu, seorang usahawan Kenny Chua, 53 berkata, keluarganya mendapat perlindungan di kediaman Menteri Besar Kelantan, Dato' Asri Muda semasa berlaku peristiwa 13 Mei 1969.

Menurut beliau, bapanya Chua Say Paw pernah memberitahu PAS satu hari nanti akan berjaya memerintah Kelantan sekiranya mereka mengambil berat masyarakat bukan Islam seperti yang berlaku sekarang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower