.
`
refresh 4 new artikal
.

23 April 2009

Kemelut Politik Di Perak, Zulkifli Ramal Sivakumar Bakal Dijadikan Mangsa Menjelangnya Sidang Dewan Undangan Negeri Itu Bulan Mei Ini


PETALING JAYA [11.55 am] - Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin (foto) meramalkan beberapa kemungkinan menjelang sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bulan depan, sejak tercetusnya krisis politik, dengan menasihatkan Speaker V. Sivakumar mengambil langkah berjaga-jaga. "Dengan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan sejak seminggu dua berkaitan isu DUN Perak, nampaknya status dua ADUN PKR yang meletakkan jawatan dan tujuh ADUN BN (Barisan Nasional) yang digantung telah selesai. "Ini bermakna kesemua ADUN BN seramai 28 orang dan tiga wakil rakyat yang melompat parti boleh menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada 7 Mei ini," kata beliau dalam tulisan terbaru blognya. Justeru, kata beliau, sidang DUN kali ini akan menyaksikan BN mempunyai majoriti 31 ADUN berbanding Pakatan Rakyat yang mempunyai 27 ADUN setelah ditolak Sivakumar sebagai Speaker. "Bermakna bila dewan bersidang, dia akan jadi macam cowboy-draw, siapa tembak dulu," katanya. Zulkifli yang juga seorang peguam menambah, beliau menjangkakan sebaik sahaja berakhirnya titah Sultan Perak, Speaker akan mengumumkan sembilan ADUN BN digantung kedudukan. "Ini akan menyebabkan BN tinggal 22 ADUN sahaja."Maka sudah pasti BN akan mencari jalan untuk Speaker tidak bertindak sedemikian," katanya.


Sambil menambah, "saya tidak nampak BN boleh halang Speaker daripada memasuki Dewan. Bagaimanapun sesuatu perlu dibuat untuk menghalang Speaker daripada mempengerusikan mesyuarat", katanya lagi. "Pertama dengan cara memohon perintah mahkamah untuk injunksi menghalang Speaker menjalankan tugas. "Kedua ialah dengan usul tergempar dibuat memecat Speaker. "Saya juga tidak akan terkejut kalau Speaker ditahan reman beberapa hari sebelum sidang berdasarkan laporan polis yang dibuat baru-baru ini bahawa Speaker menderhaka kepada Sultan," katanya. Jika kejadian itu berlaku, jelasnya, Timbalan Speaker akan mengambil alih. "Timbalan Speaker adalah Hee (Yit Fong, ADUN Jelapang) yang sudah melompat keluar DAP dan menyokong BN. "Apa hal pun, nasihat saya kepada Sivakumar., jagalah keselamatan diri baik-baik sehingga sidang dewan. Lebih elok kalau Sivakumar duduk tinggal di tempat yang selamat. Saya cukup pasti unit amal dan sekuriti PAS sentiasa bersedia memberi perlindungan 24 jam," katanya.

[Biarpun semua ini hanyalah ramalan dan spekulasi semata-mata, namun Pakatan Rakyat perlu bersedia mulai sekarang. Jika tidak kita yakin apa yang diperkatakan itu bakal menjadi kenyataan nanti. Ini juga berikutan tindakan mahkamah dan permohonan MB BN Perak, Dr.Zambery untuk menfailkan notis supaya Mahkamah Persekutuan mengumumkan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah. Semua ini bakal menyumbang ke arah itu sebenarnya. Justeru itu, jika tidak berhati-hati maka Pakatan Rakyat akan terperangkap dan terjerat dengan permainan politik kotor puak-puak UMNO dan Barisan Nasional ini nanti].

Sumber: http://pahangdaily.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower