.
`
refresh 4 new artikal
.

20 April 2009

Bukit Gantang - Merombak Pimpinan Tertinggi PAS di mana wajarnya ?

Pemilihan di dalam kepimpinan Parti PAS telah pun bermula. Parti yang paling tidak menimbulkan masalah besar ini akan menentukan siapakah yang bakal membawa parti yang memperjuangkan Islam ini untuk mengharungi era yang lebih mencabar akan ditentukan oleh ahli-ahli Pas dan perwakilan akar umbi parti tersebut.

Pemilihan kali ini pasti menjadi tumpuan seluruh rakyat bahkan dunia luar kerana selepas kecemerlangan PAS di dalam Pakatan Rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, termasuk di dalam dua Pilihanraya Kecil baru-baru ini yang melibatkan calon PAS, rakyat ingin menyaksikan parti ini lebih mantap dan meyakinkan untuk dijadikan parti alternatif memimpin negara ini.

Seperti biasa, media-media basi seperti Utusan Malaysia, RTM dan TV3 akan sentiasa mencari ruang untuk mencari kelemahan PAS walaupun sebesar zarah sekalipun. Isu kononnya di dalam PAS terdapat dua kem iaitu kem `erdogan' dan kem `perpaduan' dicanangkan bagi melaga-lagakan pimpinan PAS serta untuk mengelirukan ahli-ahli PAS di peringkat bawahan.

Kita yakin bahawa di peringkat pimpinan tertinggi PAS, isu ini sedikit pun tidak releven tetapi tidak mustahil isu yang dicipta oleh musuh PAS ini akan meresap sedikit sebanyak ke dalam hati dan minda ahli-ahli PAS yang kurang berfikir dengan matang. Seperti yang ditegaskan oleh Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz bahawa di dalam PAS tiada puak atau kumpulan tertentu sebaliknya mereka semua adalah puak-puak yang memperjuangkan Islam dan hanya mempunyai satu musuh sahaja iaitu musuh Islam. Perbezaan pendapat atau pendekatan di dalam memperjuangkan Islam bukan lesen untuk PAS berpuak-puak.

Tahniah kepada Presiden PAS, Tuan Guru Hj Hadi yang awal-awal lagi berfikiran terbuka untuk menerima sesiapa sahaja calon yang ingin memikul amanah sebagai Presiden PAS. Beliau bersedia untuk bersaing di dalam meralisasikan demokrasi yang bersih di dalam PAS. Tiada sistem kuota, tiada ugutan dan rasuah di dalam pemilihan kepimpinan Parti PAS. Walaupun demikian, kita penuh yakin bahawa jawatan Presiden PAS tidak akan dipertandingkan kerana tiada sebab untuk berbuat demikian.

Tuan Guru Hj Hadi telah melaksanakan tugasnya dengan baik dan cemerlang berdasarkan rekod di dalam Pilihanraya Umum ke 12 dan juga di dalam beberapa Pilihanraya Kecil baru-baru ini. Hubungan mesra di dalam Pakatan Rakyat juga membuktikan bahawa pimpinan di bawah Tuan Guru Hj Hadi amat berjaya dan diyakini oleh rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat. Kepimpinan beliau sebagai Ulamak juga tidak dapat dipertikaikan dan ini amat penting sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam.

Mungkin dan juga amat wajar jika beberapa pemimpin tertinggi di beberapa peringkat dan bahagian harus ditukar berdasarkan perkembangan dan prestasi mereka. Sehingga kini, dikatakan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PAS bakal ada pertandingan. Saya menyokong jika ini berlaku kerana terdapat beberapa pemimpin yang kurang efisyen di dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Terdapat di antara mereka tidak konsisten di dalam pendekatan politiknya dan sering berubah-ubah apabila terdapat desakan-desakan.

Walaupun tidak banyak, tetapi terdapat juga beberapa pimpinan yang masih menganggap betapa PAS tidak mampu hidup tanpa `berselimut' dengan Umno yang pernah menendangnya dari katil suatu ketika dahulu. Golongan ini memberikan nasihat yang kabur kepada pimpinan tertinggi mereka sehinggakan ahli-ahli PAS merasa keliru dan memandang serong terhadap pemimpin tertinggi PAS. Pemilihan pimpinan di peringkat negeri juga wajar dikaji dan dinilai semula dan ahli-ahli PAS hendaklah memilih pemimpin mereka yang bekerja keras untuk memperkuatkan PAS serta rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, bukannya pemimpin yang sentiasa menyulitkan hubungan sesama Pakatan Rakyat.

Jawatan Ketua Pemuda dan Muslimat PAS tidak kurang juga pentingnya. Ahli-ahli PAS hendaklah menentukan mereka yang dipilih untuk jawatan ini terdiri dari mereka yang berilmu, berani dan tegas di dalam menegakkan prinsip serta dasar PAS. Ketua Pemuda dan Muslimat PAS haruslah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pimpinan pemuda di dalam parti rakan Pakatan Rakyat.

Amat bertuahnya jika Ketua Pemuda PAS dan Muslimatnya dilihat lebih berani dan lantang daripada pemimpin pemuda dari rakan mereka di dalam Pakatan Rakyat. Kembalikan semula corak pimpinan sewaktu di zaman Mahfuz Omar sewaktu beliau menjadi Ketua Pemuda PAS. Ketua Muslimat juga harus berani dan lebih aktif sepertimana yang ditunjukkan oleh tokoh wanita seperti YB Teressa Kok atau YB Elizebeth Wong.

Sebelum saya mengakhiri kalam ini, jutaan tahniah buat PAS yang sehingga kini mampu bersaing dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat serta mampu menghadapi seribu dugaan dan rintangan dari Umno/Bn. Sekali lagi saya menyuarakan harapan agar kepimpinan tertinggi PAS iaitu Presidennya tidak dipertandingkan kerana setakat ini tiada calon yang mampu mengisi kerusi tersebut. Apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh ahli-ahli PAS nanti, InsyaAllah, akan diberkati Allah. (oleh - WFAUZDIN NS )

Saudara WFAUZDIN NS

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower