.
`
refresh 4 new artikal
.

08 April 2009

ANTARA MAHATHIR, RAJA SESUMPAH ATAU TARIAN LUCAH ?
Di dalam mana-mana perlawanan bola sepak, jaringan 4 - 1 merupakan satu jaringan gol yang besar dan tentunya pasukan yang kalah akan merasa aib dan terpaksa merombak pasukannya samada perlu menukar pemain atau pun Pengurus mahu pun Jurulatih. Apatah lagi pasukan tersebut baru sahaja membuat rombakan besar-besaran, namun masih juga kalah dengan kekalahan yang memalukan. Mungkin di dalam politik suasana berbeza, kekalahan Bn/Umno selepas Pilihanraya Umum Ke 12 di Permatang Pauh, di Kuala Terengganu, di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau sudah tentu tidak akan mengaibkan Bn/Umno kerana parti yang dikatakan `keramat' ini masih terasa ia sebuah parti yang hebat dan kuat. Kemenangan Bn di Batang Ai, Sarawak walaupun mendapat tentangan luar biasa dari PKR merupakan `bantuan pernafasan' buat Bn untuk seketika.
Umno baru sahaja selesai membuat `reform' di dalam parti tersebut iaitu dengan memilih Presiden, Timbalan dan Naib Presiden yang baru dan terbaik sebagaimana yang diulas oleh Tun Mahathir. Idola Umno, Tun Mahathir juga sanggup `mencemar' dirinya memasuki Umno semula meskipun parti tersebut dikatakan masih memikul `biawak hidup' iaitu pemimpin yang disabitkan dengan rasuah politik wang masih memegang jawatan penting di dalam Umno dan kerajaan. Hanya mereka yang rasuah, redha dan bersubahat dengan rasuah sahaja yang sanggup berada di dalam parti yang mengekalkan elemen rasuah ini. Maka, tidak hairanlah jika Mahathir tidak berasa malu berada bersama Umno kembali kerana rakyat sudah lama tahu apa yang berlaku semasa zaman Mahathir memimpin negara sebelum ini. Di Bukit Gantang, Mahathir dijulang sebagai `hero' untuk menyelamatkan Umno setelah berbagai cara dilakukan untuk mengembalikan maruah Umno di Perak semenjak berlakunya `rampasan kuasa' di negeri tersebut. Usaha Najib gagal, usaha Zahid Hamidi hampa melainkan sedikit `menarik' dengan tarian separuh lucah, dan lagi dengan kehadiran `pembawa malang tak putus-putus' iaitu `Raja Sesumpah And The Gang'. Sebelum ini banyak kali diperkatakan, Umno silap besar jika masih percaya dengan Raja Sesumpah Ezam yang mencatatkan rekod `terbaik'nya membantu kekalahan Umno/Bn. Sila perhatikan. semenjak di Permatang Pauh, Kuala Terengganu hinggakan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, apa misi Ezam berkempen? Tiada lain yang diperkatakan melainkan menceritakan keburukan dan hal peribadi DS Anwar dan memuji Najib walaupun sebelum ini di Permatang Pauh, Ezam memuji Pak Lah. Rakyat sudah jemu dengan kisah kotak-kotak dan sesumpahnya itu walaupun TV3 tidak pernah jemu dengan Ezam sepertimana TV3 tidak jemu dengan Raja Katak Ibrahim Ali.
Kemenangan Bn di Batang Ai, Sarawak mungkin kerana `terlepas dari bala' yang dibawa oleh Raja Sesumpah. Di Batang Ai, masih terdapat golongan yang memikirkan tentang `perut' dan di sana juga sumber maklumat alternatif hampir tiada. Di kawasan seperti ini tidak hairan jika Bn boleh mengangkat sedikit kepalanya. Namun demikian, syabas buat PKR di Batang Ai walaupun tewas tetapi tidak tewas begitu aib sekali seperti Bn/Umno tewas di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Medan ujian buat PKR di Sarawak ternyata berbaloi dan sedikit masa lagi PR atau PKR akan mendominasi negeri terkaya walaupun memiliki rakyat termiskin.
Hasil keputusan di Bukit Gantang, setuju atau tidak hakikatnya mesej jelas dari rakyat bahawa DUN di Perak wajib dibubarkan. Bergantung kepada keberanian Umno di Perak samada ingin menyerahkan kembali kuasa rakyat kepada rakyat untuk menentukannya. Umno tidak perlu khuatir lagi kerana mereka kini dikatakan telah pun melakukan `reform' mengikut kehendak rakyat marhaen, kepimpinan yang dikatakan lemah kini telah ditukar kepada kepimpinan yang kuat dan `cerdik' (petikan kata-kata Ezam), lebih-lebih lagi Tun Mahathir juga telah `bertaubat nasuha' kembali `bersyahadah' bersama Umno. Maka, perlukah Umno kecut untuk menghadapi pilihanraya di Perak?
Mengulas sedikit di Bukit Selambau, nampaknya SPR untung besar kantungnya kali ini. Kesemua 13 calon Bebas hilang wang pertaruhan mereka dan mungkin ada yang tidak berbaloi dengan belanja membuat poster dan menempah T-Shirt gambar dan lambang masing-masing. PKR memenangi kerusi tersebut dengan amat cemerlang sekali walaupun dikatakan pada awalnya calon PKR tidak disenangi ramai oleh rakyat di Bukit Selambau. Sekali lagi calon dari MIC `dilondeh'kan serentak dengan `terlondeh'nya calon dari Umno di Bukit Gantang. Kejayaan PKR di Bukit Selambau adalah kejayaan bersama kesemua parti di dalam PR, begitu juga kejayaan PAS di Bukit Gantang. Kekalahan Bn di Bukit Selambau pula adalah hasil kerjasama dari `Pakatan Bebas' seramai 13 orang yang bertanding di situ. Bn tewas, manakala `Pakatan Bebas' hilang deposit.
Umno/Bn sebelum ini telah menghadiahkan `buah tangan' teristimewa dari Kuala Terengganu buat Pak Lah sebelum Pak Lah berundur dari pucuk pimpinan negara.. Kini, hadiah yang lebih istimewa diberikan kepada pemimpin baru, Najib dengan keputusan yang diperolehi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Mudah-mudahan hadiah seperti ini akan berterusan buat pimpinan Umno/Bn. Akhir kalam. syabas buat kesemua petugas dan penyokong PR yang telah banyak mengorbankan tenaga, masa dan wang ringgit demi untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Perjuangan tidak akan berakhir setakat ini sehingga kita berada di Putrajaya. InsyaAllah.

WFAUZDIN NS

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

4lower